PM lancar terjemahan Jepun ‘Apa Habaq Orang Muda?’


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersama pengasas Hartabumi.com. Radzi Tajuddin (kanan) dan Pemangku Pengarah Urusan ITBM Sakri Abdullah (kiri) pada pelancaran bukunya yang diterjemah ke Bahasa Jepun. – Gambar ehsan ITBM, 7 September, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan buku mengenai dirinya Apa Habaq Orang Muda? edisi terjemahan ke Bahasa Jepun, sempena lawatan kerjanya ke Kyoto, hujung minggu ini.

Buku itu ditulis bersama oleh Dr Mahathir yang menggunakan nama penanya Chedet dan pengasas Hartabumi.com. Radzi Tajuddin yang menggunakan nama Mat Rodi.

Terjemahan ini diselenggarakan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) daripada buku asal dalam Bahasa Melayu yang diterbitkan Dubook Press pada 2016.

“Inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada rakyat Jepun khusus golongan mudanya untuk memahami dan lebh mendalami pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata ITBM dalam satu kenyataan, hari ini.

Apa Habaq Orang Muda? edisi Bahasa Jepun akan dipasarkan dengan meluas di 70 rangkaian kedai buku Kinokuniya di seluruh negara itu mulai hujung bulan ini.

Buku itu menghimpunkan ungkapan Dr Mahathir yang dianggap “menyengat dan bersemangat” daripada tek ucapan, wawancara dan penulisannya selama ini.

“Buku ini memuatkan segala pesanan, pengajaran dan peringatan beliau mengenai demokrasi, perpaduan, pendidikan, budaya, perjuangan dan sistem nilai yang harus dilihat dan dihadamkan oleh generasi muda yang merupakan golongan pelapis kepada tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang,” kata ITBM. 

Buku itu juga mengandungi komentar dan ulasan dari sudut pandang anak muda melalui penulisan Mat Rodi terhadap pemikiran, pandangan dan semangat Dr Mahathir.

Terjemahan itu diterbitkan bersama oleh ITBM dan DuBook Press serta Persatuan Jepun Malaysia.

Selain Dr Mahathir dan Radzi sebagai penulis bersama, majlis pelancarannya dihadiri Duta Malaysia ke Jepun Kennedy Jawan; Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM Sakri Abdullah serta wakil Kinokuniya dan persatuan.

Dr Mahathir dalam lawatan tiga hari di Jepun antaranya bertujuan untuk membincangkan penerbitan Bon Samurai dengan Gabenor Bank Kerjasama Antarabangsa Jepun Tadashi Maeda.

Dalam lawatan sehingga esok, perdana menteri dijadual menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada Universiti Doshisha dalam satu majlis khas di universiti tersebut. – 7 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen