Martabat Bahasa Melayu bukan pada Jawi sahaja, kata Anwar


Zaim Ibrahim

Penggunaan bahasa yang baik dan betul sesuai mengikut tempat dan keadaan perlu diutamakan, kata Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2019.

USAHA memartabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan tidak selesai dengan menggalakkan penggunaan tulisan Jawi dalam urusan seharian sahaja, kata Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, perkara utama yang perlu diberikan penekanan adalah penggunaan Bahasa Melayu yang baik dan betul sesuai mengikut tempat serta keadaan, kata ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Tiada surat yang ditulis tidak bermutu. Kalau wakil-wakil rakyat tidak kira apa-apa kaum daripada kerajaan atau pembangkang, mesti pastikan penguasaan bahasa (Melayu) di dewan itu baik penggunaanya.

“Kalau kurang baik, dia harus hadir ke kursus bahasa yang dikendalikan kerajaan.

“Kalau tidak (apabila) ditonton ramai, dilihat pimpinan politik ini sudahlah idea berkecamuk, bahasa lucah kadang-kadang, dan bahasa pasar yang tidak harus digunakan di tempat (rasmi),” katanya.

Ucapannya dalam Seminar Negara Bangsa di Universiti Tun Hussein Onn, Johor pagi ini menyentuh kontroversi yang timbul ekoran usaha kerajaan memperkenal tulisan jawi di sekolah.

Penentangan ke atas pembelajaran tulisan itu di sekolah vernakular itu seterusnya menimbulkan kempen di kalangan NGO Melayu untuk memboikot produk keluaran bukan Islam yang mengguna tulisan Jawi.

Namun menurut Anwar, tulisan tersebut tidak sepatutnya menjadi kontroversi dan menggesa kelompok kaum lain memahami bahawa tulisan Jawi hanya terpakai untuk kaum Melayu sahaja.

Oleh itu, langkah yang diambil seperti amalan pihak berkuasa agama Johor untuk menggunakan Jawi dalam surat menyurat adalah munasabah, katanya.

“Tulisan Jawi jangan dijadikan satu kontroversi. Kalau Kerajaan Negeri Johor umpamanya, (untuk) urusan jabatan agama itu munasabah.

“Kerana ia melibatkan urusan orang Melayu dan Islam, dan orang Melayu-Islam ada keperluan untuk menguasai sedikit tulisan Jawi, kerana ia membantu sebutannya (dalam Bahasan Melayu),” jelas Anwar.

Tulisan itu akan diguna dalam semua urusan surat menyurat Jabatan Agama Islam Negeri Johor  dan Majlis Agama Islam Negeri Johor bermula tahun depan.

Di peringkat kerajaan persekutuan pula Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa mengumumkan hari Jumaat sebagai hari penggunaan Jawi.

Dalam pada itu Anwar turut menegur pihak tertentu dalam kerajaan yang menggunakan Bahasa Inggeri dalam menganjurkan beberapa majlis rasmi kerajaan.

“Ada majlis rasmi kerajaan, dihadiri oleh rakyat Malaysia daripada mula sampai habis menggunakan Bahasa Inggeris.

“Saya bukan fanatik hingga merasakan tidak penting menguasai Bahasa Inggeris, tetapi ada kaedahnya. Ada masa dan tempatnya,” tambah Anwar.

Tambahnya lagi, Bahasa Melayu perlu dikuasai terlebih dahulu sebelum mempelajari bahasa-bahasa lain.

“Kalau Bahasa Melayu cukup dimartabatkan kita boleh tekan kepada anak-anak kita untuk kuasai bahasa kedua dengan baik.

Sekarang ada usaha mempertingkatkan mutu Bahasa Cina, dengan syarat Bahasa Melayu itu dimartabat dan tidak dipertikai, saya tidak fikir kita ada masalah,” jelasnya. – 7 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen