ANWAR Ibrahim mahu semua pihak menghentikan polemik yang terkait dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Berucap pada Seminar Negara Bangsa di Johor, Presiden PKR itu berkata sudah banyak masa terbuang, dengan polemik yang sepatutnya sudah selesai sejak negara Merdeka, sedangkan dunia terus bergerak maju meneroka pelbagai isu yang berkembang selari dengan kemajuan teknologi.
“Bagi saya yang penting mutu (penguasaan Bahasa Melayu)... bukan polemik yang berlaku sekarang.
“Mutu pendidikan, mutu penguasaan bahasa, soal sains, teknologi seperti ekonomi digital, teknologi maklumat, ini yang akan menyelamatkan bangsa kita.
“Maka sebab itu, polemik bahasa harus kita leraikan dengan pelaksanaannya yang jelas. Kemudian kita maju setapak lagi dalam bidang lain, termasuk pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), big data, Internet of Things.
“Semua ini (penting, tetapi) kita masih bergaduh lagi tentang Bahasa Kebangsaan,” kata beliau dalam ucapan itu.
Anwar berucap merasmikan seminar bertajuk Bahasa Melayu Identiti Negara di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di Batu Pahat, Johor. Seminar siri kedua ini dianjurkan oleh kerajaan Johor.
Beliau turut menegaskan pandangannya itu bukan bermakna mengenepikan Bahasa Melayu.
“62 tahun kita merdeka, harus mematangkan kita. Kita tidak boleh bahas lagi bahasa daripada segi suku kaum. Sekarang tugas kita ialah memartabatkan bahasa, mengangkat kedudukannya,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan mengapa isu bahasa kebangsaan terus timbul sedangkan ia termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
“Saya musykil juga, mengapa hal ini ditanya (lagi). Sama ada kerajaan dulu Barisan Nasional atau kerajaan sekarang Pakatan Harapan, tidak timbul pertikaian prinsip perlembagaan.
”(Kedudukan) Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam Perkara 152, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera (dalam Perkara 153), Islam sebagai agama Persekutuan dan kedudukan Raja- Raja Melayu, ini kita terima dan tidak dipersoal atau dipertikai,” tambahnya.
Debat mengenai Bahasa Melayu timbul baru-baru ini terkait isu pengajaran seni khat dan tulisan Jawi dalam silibus Bahasa Melayu Darjah Empat di sekolah jenis kebangsaan.
Beberapa kumpulan pendukung pendidikan vernakular membantah keputusan Kementerian Pendidikan itu walaupun ia ditetapkan oleh pentadbiran semasa di bawah kerajaan Barisan Nasional pada 2015.
Polemik itu kemudiannya berlarutan sehingga menyentuh soal sekolah satu aliran dan pemansuhan sekolah jenis kebangsaan. – 7 September, 2019.
Komen