KERANA berasakan hak mereka diketepikan, sekumpulan perokok menubuhkan satu pertubuhan untuk mencabar larangan merokok Putrajaya yang akan berkuatkuasa tahun depan.
Pertubuhan Kesedaran Perokok Malaysia (PKPM) ditubuhkan kerana mereka juga mempunyai hak dan larangan merokok itu tidak adil, kata individu yang terlibat dalam penubuhannya kepada The Malaysian Insight.
PKPM mahu kerajaan membatalkan keputusan menguatkuasakan larangan merokok, atau paling tidak bertemu mereka dahulu ia dilaksanakan.
Larangan merokok dikenakan pada tahun ini dengan denda sebanyak RM10,000 atau penjara tiga tahun ke atas perokok dan pemilik premis yang gagal mematuhi peraturan.
Di bawah larangan ini, perokok hanya dibenarkan merokok tiga meter dari kawasan restoran. Bagaimanapun, kerajaan menunda pelaksanaannya kepada tahun depan selepas para peniaga melahirkan kebimbangan hilang punca pendapatan.
Setiausaha PKPM, Mohd Laisani Dollah berkata matlamat utama mereka adalah mahu Putrajaya membatalkan larangan merokok.
“Perokok pun ada hak, Kenapa kerajaan tak boleh bertolak-ansur dan benarkan restoran adakan ruangan merokok, asingkan dari pelanggan yang tidak merokok? Kenapa susah sangat?
“Kami juga bantah denda berat yang dikenakan. Kami rasa itu tidak munasabah,” kata Laisani, 47.

Kontraktor dari Terengganu itu berkata selepas beberapa kali berusaha, mereka berjaya mendaftarkan pertubuhan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) 31 Julai lalu.
“Sebelum ini kami dikenali sebagai Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok. Kemudian kami ambil keputusan untuk serius dalam hal ini, jadi kami daftarkan pertubuhan dan menukar namanya.
“Kami baru sahaja tubuh jawatankuasa seramai tujuh ahli dari seluruh negara yang diketuai oleh pengerusi kami, Hanizam Yunus.”
Pertubuhan ini akan mengadakan mesyuarat pertama pada hujung bulan ini.
“Pengikut kami di Facebook ramai dan yang menyokong kami ini ada juga dari kalangan bukan perokok.
“Mereka juga percaya yang kami diberi layanan tidak adil. Kami menyasarkan pendaftaran ahli seramai 2,000.”
Laisani juga berkata kerajaan mengenakan cukai yang tinggi ke atas syarikat tembakau, menyebabkan harga rokok menjadi mahal.
“Kerajaan kutip berbilion ringgit setiap tahun dan sekarang nak larang kami merokok pula?
“Kami juga bayar cukai dan ada hak kerana kami bayar mahal untuk sekotak rokok iaitu RM17.40.” – 7 September, 2019.
Komen