DARREL Leiking akan mengambil alih tampuk kepimpinan Parti Warisan Sabah sekiranya Presiden Warisan, Shafie Apdal ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Naib Presiden, Junz Wong berkata yang Warisan sudah melakukan persiapan sekiranya perkara itu berlaku dan Leiking, yang kini merupakan timbalan presiden Warisan akan memangku jawatan presiden.
“Perjuangan kami akan diteruskan. Kami sudah membincangkan perkara ini pada mesyuarat majlis tertinggi dan memutuskan Leiking akan memangku jawatan presiden sekiranya Shafie ditahan SPRM,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas itu sudah menjangka SPRM akan mengambil tindakan kepada Shafie bulan lepas dan sekali lagi ketika beliau tiba di lapangan terbang pada 6 Oktober lepas tetapi tindakan itu tidak diambil.
Naib Presiden Warisan, Peter Anthony dan Ketua Pemuda Warisan, Mohd Azis Jamman sudah ditahan oleh agensi pencegahan rasuah itu berkaitan dakwaan penyelewengan dana persekutuan untuk projek luar bandar negeri itu yang dikatakan mencecah RM1.5 bilion.
Jumlah itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM7.5 bilion untuk pelaksanaan projek di luar bandar Sabah yang disalurkan menerusi Kementerian Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar dalam tempoh enam tahun daripada 2009 hingga 2015.
Shafie ketika itu masih merupakan naib presiden Umno dan menteri kementerian itu.
“Saya rasa SPRM sudah ubah taktik mereka. Bagaimanapun, Warisan sudah bersedia untuk kemungkinan presiden akan ditahan. Ia tidak mudah, tetapi kami tidak bimbang mengenainya,” kata Wong.
Menurut Wong lagi, siasatan yang sedang berjalan menunjukkan “mereka yang berkuasa” cuba menjatuhkan kepimpinan Warisan melalui pendakwaan terpilih, menambah yang masih banyak kes rasuah lain tetapi Shafie menjadi sasaran utama.
Misalnya, katanya urus niaga pembalakan helikopter yang dilaporkannya kepada SPRM pada 24 Ogos lalu tetapi masih tiada siasatan dilancarkan.
Berdasarkan kontrak anak syarikat Yayasan Sabah, Rakyat Berjaya Sdn Bhd hanya akan memperolehi RM1.6 juta sebulan dibandingkan dengan pihak konsensi, Hormat Jadi Sdn Bhd yang memperolehi RM27 juta dalam tempoh sama.
Wong juga menafikan khabar angin yang siasatan SPRM bertujuan menghancurkan Warisan dengan menyerang sumber kewangan parti.
Beliau juga menimbulkan keraguan tentang hala tuju siasatan, dengan mengatakan lebih ramai orang Umno ditahan berbanding Warisan, termasuklah Ketua Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda Umno Tawau, Ariffin Kassim.
“Jadi apa sebenarnya yang terbukti di sini? Mengapa SPRM memilih untuk ‘mengejar’ Shafie sekarang sedangkan jenayah ini sudah dilakukan bertahun lamanya?” soalnya.
Sementara itu, Ketua Puteri Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis berkata penahanan dua pemimpin Warisan tidak akan melemahkan sokongan rakyat Sabah kepada parti itu.
“Kemasukan Warisan ke dalam landskap politik negeri membuka mata rakyat…Warisan juga berjaya menyatukan rakyat Sabah daripada pelbagai latar belakang dan kaum,” kata Munirah yang juga berharap pemimpin Warisan yang ditahan dilayan dengan adil.
Timbalan Ketua Pemuda Warisan, Nicholas Chak pula mengatakan Anthony dan Azis tidak sepatutnya digari kerana mereka berdua berulang kali mengatakan akan bekerjasama dengan SPRM.
Katanya lagi, dia juga terkejut dan kecewa kerana Azis yang datang ke pejabat SPRM dengan sukarela tetapi dipindahkan ke tempat lain tanpa sempat memberitahu peguam atau ahli parti.
“Kedua-dua mereka masih belum dibuktikan bersalah, jadi mengapa perlu digari dan memakai t shirt oren SPRM,” katanya. – 11 Oktober, 2017.
Komen