AHLI Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam percaya Dr Mahathir Mohamad tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Mohamed Azmin Ali yang dituduh terlibat dalam skandal seks.
Lokman mendakwa pihak berkuasa sukar mengambil tindakan ke atas Azmin dalam kes itu kerana menteri hal ehwal ekonomi itu merupakan “anak emas” perdana menteri.
“Keluar berapa banyak klip video sekalipun, ia tidak akan memberi sebarang kesan kerana Azmin merupakan anak emas kepada Dr. Mahathir.
“Segala jenayah yang beliau lakukan tidak akan diambil tindakan oleh Dr Mahathir. Ini menyebabkan pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Peguam Negara berdepan kesukaran untuk (menegakkan undang-undang”,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Oleh itu, Azmin hanya akan dapat dikenakan tindakan sekiranya Dr Mahathir tidak lagi menjadi perdana menteri, aktanya.
“Maka untuk mengubah keadaan ini, rakyat hanya mempunyai satu pilihan iaitu menurunkan perdana menteri yang merupakan pelindung kepada penjenayah yang bersekongkol atau merupakan kroninya,” ujarnya.
Lokman berkata Azmin sepatutnya dikenakan tindakan kerana mendakwa siasatan ke atas video seks didakwa menampilkan Azmin itu benar-benar tulen.
Dakwanya, ia berdasarkan hasil siasatan pakar forensik di Indonesia, yang sudahpun dikemukakannya kepada polis.
Menurut Lokman, kaedah itu jelas menonjolkan muka individu di dalam video dilihat jelas apabila dipadankan dengan gambar Mohamed Azmin.
Seorang lagi individu yang sepadan dengan gambar individu dalam rakaman itu adalah bekas ketua PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz, katanya.
Haziq pada Jum lalu mengaku sebagai individu dalam video terbabit dan mendakwa Azmin merupakan pasangannya dalam siri rakaman itu.
Azmin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Haziq juga dipecat keanggotaannya daripada parti atas tuduhannya ke atas Azmin.
Beberapa lagi rakaman video seks muncul semula semalam, yang didakwa turut menampilkan Azmin.
Rakaman yang setiap satu sepanjang kira-kira tiga minit itu disebarkan kepada wartawan melalui aplikasi WhatsApp. – 6 September, 2019.
Komen