MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 8 November untuk mendengar permohonan semakan kehakiman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkaitan saman agensi itu mengutip RM1.69 bilion cukai pendapatan tertunggak Najib Razak.
Hakim Ahmad Bache juga menetapkan tarikh sama untuk mendengar permohonan bantahan bekas perdana menteri itu untuk menangguhkan prosiding.
Kedua-dua pihak akan menghantar hujah bertulis pada 1 November.
“Pihak terlibat sudah memfailkan afidavit diperlukan mahkamah,” kata peguam LHDN Norhisham Ahmad selepas pendengaran dalam kamar hari ini.
Najib diwakili Farhan Shafee dan Wee Yeong Kang.
LHDN menyaman Najib pada 25 Jun lalu, menuntut RM1.69 bilion cukai pendapatan tertunggak untuk tahun taksiran 2011 sehingga 2017.
Najib memfailkan permohonan penangguhan pada 8 Ogos, sementara menunggu rayuan untk semakan semula jumlah tuntutan itu.
Pada 26 Ogos, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa juga disaman LHDN supaya membayar RM10.3 juta tunggakan cukai untuk tahun taksiran 2011 sehingga 2017.
Sebelum itu, pada 24 Julai, anak lelaki Najib, Mohd Nazifuddin juga disaman LHDN kerana tidak membayar RM37.6 juta cukai pendapatan untuk tempoh sama.
Pada 24 Julai, LHDN juga memfailkan saman terhadap bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, menuntutnya membayar RM57.17 juta cukai tertunggak untuk tahun taksiran 2012 sehingga 2017.
Di Facebooknya pada Ogos lalu, Najib berkata wang itu adalah derma yang dikecualikan cukai.
“Saya tegaskan sekali lagi bahawa affidavit kerajaan PH sendiri telah membuktikan bahawa saya telah melaporkan dan membayar cukai LHDN setiap tahun tanpa gagal.
“Tetapi tiba-tiba, saya dituntut untuk membayar denda cukai sebanyak RM1.69 bilion. Wang yang diterima sebagai derma sebenarnya tak dikenakan cukai. Tapi PH masih mahu denda saya. Wang dari sumber asing tidak sepatutnya dicukai. Tapi PH masih mahu denda saya. Dana politik tak boleh dicukai. LHDN pun dah sahkan dahulu,” tulisnya. – 6 September, 2019.
Komen