AKTIVIS Lynas dan Ahli Parlimen Bentong Wong Tack telah mempersoalkan keputusan Pejabat Perdana Menteri mengedar soalan-soalan yang sering ditanya mengenai syarikat perlombongan nadir bumi.
Beliau berkata ia agak mengecewakan apabila Pejabat Perdana Menteri akan bertindak sedemikian rupa untuk mempertahankan Lynas.
“Sebelum ini kita melihat kementerian tertentu sibuk di sana sini, mengambil tahu perkara yang tidak berada dalam bidang mereka.
“Sekarang Pejabat Perdana Menteri buat perkara sama. Ini satu penghinaan bukan hanya terhadap Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) tetapi juga kepada Pejabat Perdana Menteri.
“Bagaimanapun, saya sendiri tidak percaya Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad akan membenarkan pejabatnya menjadi pejabat jualan dan pegawai-pegawainya menjadi jurucakap Lynas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, tindakan harus diambil terhadap pegawai yang telah menyalahgunakan dan menghina pejabat tertinggi negara.
“Adalah jelas tindakan mereka bertujuan mengesahkan operasi syarikat asing yang selama ini tidak mematuhi undang-undang dan peraturan kita.
“Saya menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pegawai terbabit dalam penyalahgunaan kuasa atau rasuah,” katanya.
Wong Tack dan aktivis lain serta beberapa pentadbiran Pakatan Harapan menentang keputusan kerajaan membenarkan Lynas terus beroperasi di Gebeng, Kuantan.
Mereka menuduh Lynas melanggar perjanjian dan kini memaksa rakyat Malaysia menerima dua juta tan sisa berbahaya dan radioaktif. – 6 September, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen