'M for Malaysia' ekori kempen Dr Mahathir tumbangkan BN


Diyana Ibrahim

Dokumentari M for Malaysia akan menjejak kejayaan Dr Mahathir Mohamad memimpin Pakatan Harapan menakluk Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 6 September, 2019.

DOKUMENTARI perjalanan kempen Dr Mahathir Mohamad sepanjang 16 hari yang menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU14 lalu akan dapat ditonton pada 12 September.

Doku berjudul “M for Malaysia” itu memaparkan rentetan senario politik negara ketika itu, termasuk perkembangan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia turut mengimbau peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim dan perdamaian semula Dr Mahathir dengan bekas seterunya itu yang membawa kepada pembentukan Pakatan Harapan.

Selain itu, ia turut menumpulam pergeseran dengan Najib Razak yang memimpin kerajaan BN waktu itu – yang kemudiannya ditumbangkan gabungan parti pimpinan Dr Mahathir.

Tidak ketinggalan penonton turut disajikan dengan peristiwa demostrasi menuntut pilihan raya bersih dan adil, Bersih 3 dan Bersih 5 pada 2016 yang disertai Dr Mahathir.

Ia antara lain memaparkan wawancara dengan Presiden Pakatan Harapan Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, veteran DAP Lim Guan Eng dan Dr Mahathir sendiri.

Pengarahnya Ineza Roussille yang merupakan cucu Dr Mahathir turut menyuarakan pandangan mengenai tindakan datuknya itu ke atas Ops Lalang.

Ineza, 31, memberitahu wartawan, beliau mahu menyatakan pandangan yang jujur tanpa mengenepikan konflik yang berlaku.

“Memang kita dah putuskan awalnya kita tak nak buat propoganda filem, kita perlu jujur dan perlu masukkan konflik. Sebab politikkan sangat rumit.

“Jadi cara kita tangani adalah jujur dengan apa konflik yang timbul,” kata pengarah filem yang berusia 31 tahun itu.

Pengarahnya Ineza Roussille yang merupakan cucu Dr Mahathir turut menyuarakan pandangan mengenai tindakan datuknya itu ke atas Ops Lalang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 6 September, 2019.

Katanya, beliau pada mulanya enggan untuk terlibat  merakamkan detik bersejarah namun pendiriannya berubah selepas mengikuti dua kempen ceramah PRU14.

“Saya tak mahu dekat sangat dengan parti politik. Tak pernah ikut kempen lama begitu tapi selepas dua hari saya terus tukar pandangan kerana PRU14 merupakan pilihan raya yang sangat hebat.

“Ia sangat bersejarah… Jadi sebab itu saya ikut,” katanya.

Ditanya reaksi perdana menteri mengenai dokumentari tersebut, Ineza berkata Dr Mahathir sudah menontonnya dan mengucapkan tahniah dan memeluk beliau.

“Jadi dari situ saya (lihat) beliau gembira,” katanya yang juga penerbit karya itu.

Sementara itu, ibunya Marina berkata dokumentari tersebut wajib ditonton kerana ia akan mengingatkan rakyat kepada peristiwa bersejarah negara.

“Memang sekarang orang banyak mengadu tak puas hati dengan kerajaan sekarang. Tapi dokumentari ini untuk rakyat momen yang sangat istimewa bersejarah.

“Sukar untuk kita lihat kerajaan yang berkuasa lama boleh tumbang, dan ia tumbangkan oleh pemimpin berusia 93 tahun,” katanya yang bertindak sebagai penerbit eksekutif.

Marina Mahathir berkata dokumentari tersebut wajib ditonton kerana ia akan mengingatkan rakyat kepada peristiwa bersejarah negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 6 September, 2019.

“M for Malaysia” akan ditayangkan di pawagan tempatan selama empat hari bermula 12 September hingga 15 September ini.

Doku sepanjang 90 minit itu diarahkan dan diterbitkan bersama dengan Dian Lee dan melibatkan penerbit kreatif dari Hong Kong, Ruby Yang dan komposer muzik berpengkalan di Los Angeleas Rendra Zawawi.

Ia pernah ditayangkan di festival filem antarabangsa CAAMFest In San Francisco, DocEdge di New Zealand dan akan tampil di Festival Filem Antarabangsa Busan pada Oktober. – 6 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen