PKR masih belum mengadakan siasatan dalaman ke atas skandal video seks didakwa melibatkan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, kata Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution hari ini.
Saifuddin berkata beliau juga tidak mengetahui mengenai enam lagi klip seks dikaitkan Azmin yang dihebahkan pagi tadi.
“Pendirian kita tentang isu ini jelas. Kita menolak semua bentuk politik kotor dan kami akan membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan. Klip baharu itu juga saya baru tahu. Tak sampai pada saya lagi.
“Setakat ini tiada siasatan dalaman,” jelasnya juga.
Sekitar jam 3.30 pagi tadi, enam video klip memaparkan dua pelaku mirip Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz dihebahkan. Ia turut dikongsi dalam sebuah kumpulan di aplikasi WhatsApp yang menghimpunkan lebih 80 wartawan dan ahli politik.
Enam klip video berdurasi sekitar tiga minit dimuatnaik dalam kumpulan itu. Ia kelihatan suntingan baharu daripada video yang dikongsi kepada pengamal media Jun lepas.
Ditanya mengenai Ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang diburu polis kerana dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan, Saifuddin berkata parti menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa.
“Sama sahaja, apa sahaja perkara berkaitan undang-undang, kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasat. Parti tidak mengambil apa-apa tindakan,” tambahnya.
Polis Selangor sedang memburu Farhash selepas beliau dan 10 orang lagi didakwa menyerang seorang jurulatih boxing di luar Kompleks D’Star Arena pada Hari Merdeka lalu.
Dipercayai kejadian berlaku pada jam 9 malam melibatkan antara 12 hingga 14 orang lelaki. Polis berkata kekecohan tercetus apabila suspek menolak muka jurulatih tersebut.
Presiden PKR Anwar Ibrahim turut menggesa Farhash tampil membantu siasatan polis itu.
“Dia patut, dia perlu jumpa polis,” kata Anwar ketika ditemui di satu program di Sunway hari ini. – 5 September, 2019.
Komen