Ekonomi kaum Cina terlalu kuat untuk diboikot, kata Anwar


SM Amin

Anwar Ibrahim berkata, tindakan memboikot produk bukan Islam ini berpunca daripada rasa cemas orang Melayu yang merasakan mereka sedang diancam oleh kaum lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 5 September, 2019.

EKONOMI kaum Cina terlalu kuat dan tidak akan terjejas dengan kempen boikot produk keluaran bukan Islam, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, tindakan memboikot produk bukan Islam ini berpunca daripada rasa cemas orang Melayu yang merasakan mereka sedang diancam oleh kaum lain.

“Hal-hal yang tidak memberikan ruang, bagi orang Melayu panik. Habis Cina hendak telan kita, India yang sedikit pun hendak telan kita.

“Yang Cina pun ditakutkan juga. Orang Melayu boikot sedikit. Kekuatan ekonomi Cina terlalu kuat untuk diboikot sedikit-sedikit,” katanya ketika merasmikan siri Dialog Digital Native Agenda 23 (DNA23) di Universiti Kebangsaan Malaysia, di Bangi hari ini.

Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebelum ini melancarkan “Kempen Beli Produk Muslim” sebagai usaha untuk membantu peniaga umat Islam yang selama ini tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk membuat pemasaran.

Bagaimanapun, selepas isu tulisan khat Jawi di sekolah vernakular, beberapa pihak menjadikan kempen seumpama itu sebagai usaha untuk memboikot produk daripada pengusaha bukan Muslim.

Pengerusi Ummah Aminuddin Yahaya turut meluahkan rasa kecewa dan terkilan apabila ada beberapa pemimpin politik negara mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan kempen ini dengan isu perkauman, agama serta parti-parti politik.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini juga tidak bersetuju dengan kempen memboikot produk keluaran bukan Bumiputera yang disifatkannya tindakan golongan berfikiran cetek.

Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya semalam menolak tindakan boikot itu dan menyifatkannya sebagai tidak wajar. – 5 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen