Perbicaraan kes bunuh Kim Jong-nam ditangguhkan, saksi sakit perut


Bede Hong

Perbicaraan kes bunuh warga Korea Utara, Kim Jong-nam masuk hari ketujuh hari ini ditangguhkan pada jam 3 petang tadi. Ia akan disambung pagi esok. – Gambar EPA, 11 October, 2017.

PERBICARAAN kes bunuh Kim Jong-nam yang memasuki hari ketujuh hari ini dihentikan seketika selepas seorang saksi polis mengatakan dia keracunan makanan.

Pegawai penyiasat, Asst Supt Azirul Nizam Chie Wan Aziz memberitahu mahkamah tengahari tadi yang dia minta dikecualikan.

“Saya ada masalah perut. Keracunan makanan,” katanya kepada Hakim Azmi Ariffin di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Peguam mewakili tertuduh Duan Thi Huong, 28, dan Siti Aisyah, 25, tidak membantah.

“Jika kita kekalkan dia di sini, akan ada lebih banyak masalah. Jika anda perlu ke klinik, pergi sekarang,” kata Azmi sebelum menangguhkan perbicaraan sidang tengahari pada jam 3 petang tadi.

Sebelum itu, Azirul yang merupakan saksi kesembilan pendakwaan memberikan keterangan mengenai rakaman CCTV lapangan terbang yang diperolehi polis yang menunjukkan Doan melumurkan sesuatu ke muka lelaki yang dikenal pasti polis sebagai Jong-nam.

Selepas muka Kim dilumur, rakaman CCTV menunjukkan dia menghampiri pegawai kaunter pertanyaan, yang dikenal pasti Azirul sebagai Juliana.

Juliana kemudian membawa Kim kepada tiga orang pegawai polis, dua daripadanya tidak dikenali Azirul.

“Tetapi yang di tengah ialah Zul,” kata Azirul.

Azirul mengatakan Kim hanya mula menunjukkan tanda “keletihan” dan dia kemudian dibawa ke klinik lapangan terbang.

Rakaman CCTV kemudian menunjukkan pengusung dibawa ke klinik itu. Satu lagi rakaman CCTV menunjukkan empat orang ahli perubatan dan seorang anggota polis mengiringi Kim yang kini dibaringkan di atas pengusung dengan bantuan alat pernafasan memasuki lif.

Jaket dipakai Kim juga ditanggalkan, dan mendedahkan t-shirt biru yang dipakainya.

Jaket itu dihantar kepada pakar senjata kimia, Dr Raja Subramaniam, kata Azirul.

Azirul mengesahkan yang wang tunai bernilai lebih AS$100,000 ditemui dalam beg Kim. Wang itu disimpan di ibu pejabat polis daerah Sepang.

Pasport yang dikenal pasti sebagai milik Kim yang kemudiannya mati kerana diracun ejen VX tertulis identitinya sebagai “Kim Chol”.

Peguam bela utama Doan, Hisham The Poh Teik kemudian membantah penggunaan beberapa perkataan oleh Azirul.

“Perkataan seperti serangan, agresif, cemas, latihan. Kami mahu ia dibuang daripada rekod mahkamah kerana ia adalah pandangannya sahaja,” bantah Hisham yang ditolak oleh Azmi.

“Di akhirnya, saya yang akan buat kesimpulan sendiri,” kata Azmi.

Sementara itu, peguam bela tertuduh memberitahu wartawan yang mereka tidak menafikan yang Doan dan Siti merupakan orang dalam rakaman CCTV setakat ini.

“Mereka ada di situ. Kami tak nafi,” kata Gooi Soon Seng, peguam bela utama Siti.

Seorang lagi peguam Doan, Naran Singh mengatakan kualiti rakaman itu tidak baik.

“Malah untuk Doan, ia tidak jelas (yang dalam rakaman itu adalah Doan). Kami tidak nampak siapa mangsa di situ.”

“Anda perlu ingat yang bukti dibentangkan setakat ini adalah pandangan dan persepsi peribadi Azirul,” kata naran.

Awal hari ini, Azmi mengeluarkan arahan menghalang sidang media oleh peguam berkaitan penghantaran hujah atau apa sahaja berkaitan yang boleh dianggap boleh menganggu proses perbicaraan.

Perbicaraan bersambung pagi esok.  – 11 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen