PKR berada dalam landasan yang tepat dan tidak ada masalah dalaman, kata Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, presiden PKR itu mengakui wujud ketidakpuasan hati dalam sebilangan ahli kerana situasi semasa dihadapi parti itu.
“Parti bergerak dalam landasan betul. Sudah tentu bukan 100% tetapi saya tak nampak masalah. Ada orang tak puas hati tetapi kami ada cukup orang (yang puas hati). Saya seorang demokrat, orang boleh datang jumpa dan bincang,” katanya selepas hadir di sebuah forum anti rasuah di Sunway hari ini.
Walaupun tidak menjelaskan pihak tidak berpuas hati itu, beliau jelas sekali merujuk kepada Timbalannya Azmin Ali dan pengikutnya.
Minggu lepas, Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin mengadu yang Anwar menolak permintaan untuk mesyuarat beberapa kali yang bertujuan memulihkan hubungan kepimpinan tertinggi parti.
“Kami sudah hantar tiga surat kepada pejabat presiden,” kata Zuraida.
Jelasnya, Anwar menolak jemputan pertama dengan sebab beliau akan mengerjakan haji di Mekah.
“Kami kemudian hantar surat kedua dan ketiga Isnin lepas, untuk meminta pertemuan antara presiden dan beberapa ahli MPP (Majlis Pimpinan Pusat) yang dipilih pada pemilihan parti,” kata Zuraida lagi.
Zuraida dan beberapa pemimpin pusat parti diketahui umum berada dalam Kem Azmin, dan tidak menghadir beberapa mesyuarat parti selepas hubungan Azmin dan Anwar tegang.
Bagaimanapun, kenyataan Zuraida itu dikecam Setiausaha Agung Saifuddin Nasution yang memintanya hadir ke mesyuarat dan bukan menghantar surat.
“Ini bukan soal damai atau tidak, datang saja mesyuarat selesaikan di sana,” katanya. – 5 September, 2019.
Komen