DASAR perumahan kos rendah dan sederhana kerajaan Pulau Pinang lebih menguntungkan pemaju dan bukannya pembeli, kata Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Pemangku presiden CAP Mohideen Abdul Kader mendakwa kerajaan negeri lepas tangan dalam urusan penjualan unit rumah kos rendah dan sederhana sehingga pemaju mengambil kesempatan meletakkan harga yang lebih mahal daripada sepatutnya.
Persatuan pengguna itu mendedahkan ada unit rumah kos rendah yang sepatutnya berharga RM42,000 tetapi akhirnya dijual pada harga lebih RM100,000 kerana pembeli dipaksa menerima “pakej tambahan” merangkumi caj parkir dan ubah suai.
Menurut Mohideen, “pakej tambahan” itu dipaksa kepada pembeli kerana jika mereka tidak bersetuju, mereka tidak akan dapat rumah tersebut.
“Perjanjian yang dibuat adalah paksaan bukan sukarela. Kos parkir sahaja antara 40% hingga 70% daripada harga unit rumah.
“Kos pakej ubah suai juga antara 40% hingga 70% daripada harga unit rumah. Pakej itu tidak lebih daripada memasang lantai simen dan jubin,” katanya pada sidang media di pejabat CAP, di George Town, hari ini.
Beberapa pembeli yang hadir sama pada sidang media itu mendakwa mereka rasa tertipu kerana membeli rumah pada harga yang lebih daripada yang ditawarkan.
Seorang penjawat awam, Mohd Hirman Mokhtar, 32, kecewa kerana walaupun sudah membuat aduan dan laporan kepada pihak berkuasa, sehingga sekarang masih belum ada tindakan lanjut.
“Rumah saya dah masuk Ogos 2018. Rumah ditawarkan RM72,500. Kemudian apabila jumpa pemaju, mereka beri harga sebanyak RM180,000. Saya tolak tawaran itu sebab tidak mampu,” katanya, yang membeli sebuah unit seluas 760 kaki persegi di E-Garden Apartment, Tanjung Tokong.
“Jadi saya dapat rumah kos RM130,000 yang termasuk dengan caj parkir tanpa diubah suai. Saya buat aduan kepada Jabatan Perumahan tetapi mereka jawab tidak boleh buat apa-apa, kami hanya tawarkan rumah,” katanya.
Menurut Hirman, pemaju juga mengugut tidak menjual rumah itu kepadanya sekiranya beliau menolak pakej parkir yang ditawarkan.
“Caj parkir mereka tidak beritahu. Harga rumah itu adalah termasuk unit rumah hujung dan selebihnya adalah parkir.
“Apabila buat pengiraan sendiri harga parkir adalah RM47,000,” katanya.
Sementara itu, bekas pekerja swasta, Rosalind Yagambaram, 56, juga mendakwa rasa tertipu apabila terpaksa membayar lebih 100% daripada harga asal RM42,000 untuk sebuah rumah kos rendah di Aparment Idaman Selasih, Sungai Ara.
“Harga rumah RM42,000. Pakej ubah suai RM34,000 dan parkir RM35,000.
“Saya ada penyakit vertigo dan perlu menjaga seorang ibu berusia 83 tahun. Saya pernah meminta exco perumahan Jagdeep Singh Deo untuk dapatkan rumah di tingkat bawah tetapi tidak berhasil,” katanya.
Menurut Rosalind, beliau akhirnya terpaksa mengalah untuk menerima unit di tingkat 8.
Mohideen menjelaskan, pihak CAP kecewa kerana kerajaan negeri masih menutup mulut berhubung isu ini.
“Kita mahukan undang-undang dan polisi yang tegas terhadap pemaju. Apabila anda tawarkan harga rumah kos rendah, mestilah ikut yang ditetapkan bukan lebih daripada itu.
“Mereka (pembeli) pun berkali-kali cuba jumpa pihak kerajaan negeri tetapi tiada tindakan. Sebab itu mereka datang buat aduan di sini,” kata Mohideen.
The Malaysian Insight sedang mendapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan negeri. – 5 September, 2019.
Komen