Rasa takut dorong saksi setuju lakukan tugas berkaitan 1MDB


Bede Hong Timothy Achariam

Amhari Efendi Nazaruddin berasa terancam secara tidak langsung dengan 'kuasa' dimiliki Najib Razak yang ketika itu menjadi perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 September, 2019.

BEKAS pegawai khas Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini beliau menuruti arahan Low Taek Jho kerana takut dengan “orang yang berkuasa”.

Semasa soal balas, ketua peguambela Muhammad Shafee Abdullah menuduh Amhari Efendi Nazaruddin berbohong mengenai dipaksa oleh Low - lebih dikenali sebagai Jho Low - untuk membuka akaun di Singapura pada 2012.

Amhari, pegawai khas Najib antara 2008 hingga 2016, menafikan menerima AS$800,000 dalam akaunnya sebagai ganjaran kerana membantu Low dengan urus niaga haram.

Saksi itu berkata, beliau sebenarnya berasa terancam oleh Low dan “tidak secara langsung” oleh Najib sendiri.

Shafee: Anda mesti boleh agak siapa yang akan mengancam nyawa anda? Atau adakah anda mengatakan Datuk Seri Najib akan membawa pistol dan menembak anda?

Amhari: Kuasa yang ada. Perdana menteri mempunyai semua kuasa untuk melakukan banyak perkara. Apabila saya mengatakan hidup, saya tidak bermaksud nyawa saya tetapi bermaksud kehidupan saya. Tindakan seharian saya dan tidak tahu bagaimana Jho Low akan mentafsirkannya dan mengaitkannya dengan Datuk Seri Najib.

Terdahulu, Ahmari ditanya sama ada ancaman itu datang daripada Najib.

Amhari: Tidak secara langsung tetapi Jho Low mempunyai restu Najib.

Shafee: Anda boleh sahaja bertanya kepada Najib. Ia satu perkara mudah. Anda boleh bertanya kepadanya jika beliau membenarkan perkara ini. Sekiranya tindakan itu dibuat, ancaman tidak akan ada.

Amhari: Saya tidak setuju.

Amhari sebelum ini memberi keterangan yang beliau takut dijadikan “kambing hitam” untuk melindungi kegiatan jenayah berkaitan 1MDB, selepas pertemuan dengan Najib pada Jun 2016 apabila beliau diarahkan pergi ke China untuk melakukan rundingan menyelamatkan 1MDB.

“Walaupun saya menghormati dan mengikut Datuk Seri Najib, ini adalah masa yang paling sukar bagi saya.”

“Saya bimbang akan terlibat dalam percaturan oleh Datuk Seri Najib dan Jho Low jika ia untuk menutup kerugian dana 1MDB atau penyelesaian hutang Ipic (International Petroleum Investment Company) yang melibatkan dana 1MDF, atau penggunaan dana sedemikian untuk pembiayaan politik,” kata Amhari yang membaca daripada kenyataan saksinya.

Perbicaraan Najib tertumpu kepada empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dengan menerima RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan penggubahan wang haram.

Pemimpin berusia 66 tahun itu diwakili kumpulan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Gopal Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan menerajui pihak pendakwaan, Hakim Collin Lawrence Sequerah pula mendengar kes. – 5 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen