LANGSUNG: Jho Low dalang utama, kata bekas pegawai Najib


Bede Hong Timothy Achariam

Amhari Efendi Nazaruddin memberitahu mahkamah semalam ECRL dan beberapa projek mega lain digunakan untuk membayar hutang 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 September, 2019.

BEKAS pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin, akan disoal balas oleh pasukan pembelaan pada perbicaraan 1MDB hari ini.

Saksi yang pertama kali dipanggil untuk memberi keterangan pada Selasa, selesai membaca kenyataan 77 halamannya semalam.

Amhari memberi keterangan semalam bahawa Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dikritik banyak adalah antara beberapa projek yang digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Projek Multi-Product Pipeline dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah juga dibincangkan dengan Suruhanjaya Penyeliaan Aset dan Pentadbiran Kerajaan China (SASAC) pada pertengahan 2016.

Amhari hadir pada pertemuan dengan wakil China bersama Low Taek Jho, yang lebih banyak menguasai perbincangan, mahkamah diberitahu semalam.

Low memberitahu pada pertemuan itu bahawa Najib menawarkan ekuiti perniagaan milik China dalam projek infrastruktur sebagai pertukaran untuk menyelesaikan hutang 1MDB dan SRC International, kata Amhari.

Tiga projek lain yang ditawarkan kepada SASAC ialah: membangunkan Labuan sebagai hab perbankan dan pelancongan luar pesisir, saluran paip minyak dari Pelabuhan Klang ke Kuala Kedah, dan kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Bangkok.

Menurut saksi, Low mempunyai pengaruh besar terhadap Najib, juga mengarahkan Ahmari dan bekas ketua setiausaha peribadi perdana menteri Azlin Alias ​​untuk membuka dua akaun sebelum pilihan raya umum 2013.

Amhari percaya khabar angin mengenai masalah di 1MDB bermula pada tempoh tersebut.

“Kami bimbang kerana ada kemungkinan akaun ini akan menjadi akaun untuk pengubahan wang haram, bagi tujuan dana Najib untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13,” kata Amhari.

Ahmari, 43, berkata menjadi budaya kerja di Pejabat Perdana Menteri tiada siapa berani bertanya kepada Najib mengenai sumber dana 1MDB, ketika laporan media mengenai skandal itu muncul.

Ketika memberi kesaksian, Ahmari menjadi emosi apabila memberitahu beliau bimbang digunakan untuk menutup kegiatan jenayah yang dikaitkan dengan entiti skandal itu.

Beliau bercakap mengenai pertemuan dengan Najib pada Jun 2016, apabila diarahkan ke China untuk berunding mengenai 1MDB.

Beliau berkata dibantu oleh Low, melalui komunikasi telefon dan e-mel.

“Walaupun saya menghormati dan mengikut Najib, ini adalah tempoh paling sukar bagi saya.

“Saya bimbang terlibat dalam percaturan oleh Najib dan Jho Low jika ia untuk menutup kerugian dana 1MDB atau penyelesaian hutang Ipic (International Petroleum Investment Company) yang melibatkan wang dicuri daripada 1MDB, atau penggunaan dana sedemikian untuk pembiayaan politik.”

Najib berdepan 25 tuduhan - empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh RM2.3 bilion dan 21 lagi tuduhan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan jumlah yang sama.

Beliau berdepan hukuman 20 tahun penjara jika didapati bersalah.

Najib diwakili sepasukan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.

Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, mengetuai pendakwaan sementara hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah mendengar perbicaraan.

Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadiri perbicaraan 1MDB, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 September, 2019.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

4.43pm: Shafee menghentikan soal balasnya untuk hari ini dan meminta kebenaran Hakim Sequerah sekiranya mereka boleh menyoal kembali saksi pada perbicaraan akan datang.

Mahkamah ditangguhkan kepada jam 9.30 pagi pada Selasa depan.

4.38pm: Amhari berkata beliau tidak menyimpan rekod peribadi mengenai pertemua itu. Shafee berkata kerana pertemuan itu berkaitan isu pentadbiran kerajaan, mesti ada simpanan rekod.

Amhari tidak bersetuju, katanya Najib memegang jawatan politik dan kadang kala, ada mesyuarat yang tidak memerlukan catatan minit mesyuarat.

4.34pm: Shafee mencadangkan kepada Amhari yang Jho Low menyerbu masuk mesyuarat bersama mereka tanpa dijemput kerana dia tidak mahu memberikan masa untuk mereka memikirkan arahannya.

Shafee juga mencadangkan semua ini dirancang Jho Low untuk menghalang mereka meneliti arahannya. Amhari tidak bersetuju.

Shafee: Mengapa awak percaya yang awak perlu musnahkan semua kertas catatan mesyuarat? Apa jenis penjawat awam buat begitu?

Amhari: Kerana dia kata itu arahan Najib.

4.21pm: Shafee bertanyakan Amhari sekiranya, pada mesyuarat kedua dengan Jho Low di TGI Fridays, mereka sudah mengenali satu sama lain. Shafee kemudian bertanyakan jika Jho Low membayar harga makanannya malam itu. Amhari berkata ya, tetapi maklumat itu tidak terdapat dalam keterangan saksinya.

Shafee mencadangkan kepada Amhari yang Jho Low memulakan hubungan mereka kerana dia adalah seorang penjawat awam.

Amhari berkata Jho Low sentiasa berjaya mengadakan mesyuarat dengan orang penting.

4.02pm:Amhari berkata tempat dan tarikh mesyuarat sentiasa ditentukan Azlin dan Jho Low.

Shafee bertanya, jika mesyuarat itu rasmi, mengapa ia tidak diadakan di Putrajaya.

4pm: Mahkamah disambung selepas berehat.

Shafee bertanyakan Amhari tentang kekerapan pertemuannya dengan Azlin dan Jho Low di Prince Hotel KL.

Shafee: Awak di pejabat PM. Perlu kah berjumpa Jho Low di malam hari di tengah bandar (KL)?

Amhari: Malam, ya sebab Azlin mahu berjumpa di bandar. Di hotel, sebab Azlin lebih suka berjumpa di hotel.

3.38pm: Amhari berkata Azlin adalah seorang yang rendah diri dan sentiasa mendengar nasihat dan cadangan pegawainya, beliau juga seorang yang cekap.

3.32pm: Shafee bertanyanya tentang penglibatan Low dalam projek Iskandar, yang menurut Amhari beliau tidak tahu tentangnya.

3.22pm: Amhari memberitahu mahkamah yang beliau ditugaskan membawa Kelab Bola Sepak Manchester City ke Kuala Lumpur. Tambahnya beliau dipertanggungjawabkan hal itu, menurutnya kerana cadangan Low walaupun Najib yang menyuruhnya.

3.02pm: Shafee: Awak sedar yang Low boleh jual ais kepada orang eskimo.

Amhari: Saya sedar yang dia sangat berpengaruh. Tetapi, selepas PRU14 apabila laporan berita mula keluar, saya baru sedar apa yang dia buat.

Amhari Efendi NAzaruddin memberitahu mahkamah yang Jho Low adalah dalang utama, yang menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan apa yang dimahukannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 September, 2019.

2.50pm: Shafee: Adakah awak bersetuju dengan andaian yang Najib tidak pernah meluluskan AS$800,000 dan tidak tahu mengenainya. Adakah itu manipulasi yang membuatkan awak merasakan dia bertanggungjawab?

Amhari: Saya tak rasa begitu.

Shafee: Adakah benar yang Jho Low mengacau kedudukan awak?

Amhari: Tidak, kerana Jho Low sangat berpengaruh dan dia rapat dengan Najib….Jho Low sangat rapat dengan Najib.

Shafee: Jho Low tak pernah ambil balik duit itu, dia tinggalkan dalam akaun nama awak. Adakah dia letakkan awak dalam keadaan yang bahaya?

Amhari: Dia kata dia akan uruskan.

Shafee bertanya mengapa dia tidak menguruskan sendiri persiapan dokumen pinjaman sebanyak AS$200,000. Amhari berkata Jho Low memberitahunya tidak perlu, walaupun dia meminta perjanjian pinjaman.

Shafee: Awak setuju yang awak dalam keadaan yang bahaya ketika itu?

Amhari: Ya, tetapi saya mahu jelaskan.

Shafee beritahu dia boleh jelaskan sekiranya penting. Amhari berkata ia tidak penting. Shafee memberitahunya yang dia boleh buat penjelasan bila pendakwaan mulakan soal balas.

2.45pm: Amhari berkata tindakan Low tidak seperti melanggar undang-undang kerana beliau mampu menyakinkan orang yang tindakannya betul.

2.44pm: Amhari berkata Low adalah dalang utama dan orang lain hanyalah orang suruhan.

Amhari berkata Low adalah orang yang sentiasa dapat apa yang dimahukannya dan “jika dia tak dapat guna satu cara, dia akan cuba cara lain.”

2.38pm: Shafee kembali menyoal balas Amhari.

Shafee merujuk kepada keterangan saksi Amhari di mana dia menggelarkan Low sebagai “manipulator utama”.

Amhari: Saya simpulkan yang dia adalah pemanipulator utama kerana bila ada keperluan hendak buat sesuatu, dia akan libatkan ramai orang pada masa berbeza untuk dapatkan apa yang dia mahu.

Shafee: Dia banyak kali perdayakan (orang)? 

Amhari: Misalnya ketika rundingan untuk IPIC ketika saya pergi berjumpa Khaldoon, saya tak tahu yang saya juga akan ke China. Dan bila saya kedua-dua negara, semuanya sudah dibuat.

2.36pm: Najib masuk dan duduk dalam kandang tertuduh. Mahkamah disambung.

2.33pm: Najib masih tidak hadir. Hakim sudah marah.

Shafee berkata Najib mungkin ke masjid untuk bersembahyang.

Swquerah: Tolong beritahu anak guam awak supaya hadir tepat pada masanya.

Hakim berundur sementara menanti Najib hadir.

1pm: Mahkamah berhenti rehat. Prosiding bersambung semula 2.30pm.

12.56pm: Mereka melihat senarai syarikat berkaitan dengan Low dan keluarganya.

12.34pm:  Shafee bertanya saksi tentang Utama Banking Group.

Amhari berkata beliau tahu ia dimiliki oleh Effendi Norwawi.

12.31pm: Amhari memperincikan tugasnya di Khazanah.

12.24pm: Amhari berkata beliau minta Najib selepas PRU 2013 untuk pindahkannya ke Khazanah tetapi beliau hanya dapat kebenaran untuk pergi pada 2016.

12.22pm: Amhari berkata beliau dibayar RM65,000 sebulan di Khazanah.

Shafee: Adakah anda masih kata anda tidak bercita-cita tinggi?

Amhari: Tidak, saya fikir itu subjektif.

12.20pm: Amhari berkata ketika beliau di PMO, beliau dipinjamkan ke Bank Negara. Katanya beliau rasa perlu untuk melanjutkan kerjaya korporat dan Khazanah lebih sesuai dengannya.

Katanya, gaji terakhirnya RM25,000.

Katanya, beliau turut menerima gaji daripada Orb Solutions. Bayaran terakhirnya di situ RM20,000.

12.18pm: Amhari berkata beliau tidak bercita-cita tinggi.

Shafee: Kerja terakhir anda di Khazanah, anda minta Najib pertimbangkan untuk anda kerja di Khazanah.

Amhari: Saya minta jadi pekerja saya. Bukan dalam lembaga pengarah. Saya dulu pengarah di Khazanah.

12.15pm: Shafee mencadangkan bahawa Amhari tidak secara sukarela memberikan maklumat kepada SPRM sehingga beliau ditanya.

Amhari tidak setuju.

Amhari berkata beliau dalam lokap SPRM selama tujuh hari. Katanya, SPRM melayannya dengan baik. Katanya beliau tidur di atas lantai tetapi dapat tidur dengan baik.

Shafee: Anda sengaja mengeluarkan AS$200,000 itu kerana ia akan menjejaskan anda.

Amhari: Saya tidak setuju.

12.12pm: Shafee tanya adakah tuntutan saman pelucuthakan yang difailkan terhadap Amhari, beliau menjawab tidak.

Shafee mencadangkan Amhari dipujuk oleh SPRM untuk menyusun keterangannya untuk mengaitkan anak guamnya.

Saksi tidak setuju. Beliau tidak setuju beliau diugut oleh SPRM.

12.08pm: Amhari berkata beliau cuba bayar semula Low daripada jualan rumahnya.

Beliau beritahu Low beliau akan memindahkan nama kepadanya.

Amhari berkata beliau tidak ada perjanjian pinjaman dengan Low, berkata bukan mudah untuk memujuk Low bersetuju dengan perjanjian pinjaman.

12.04pm: Amhari berkata pinjaman itu hanya sementara untuk menjual salah satu rumahnya dan beli yang lain. Beliau tidak dapat menjual rumah itu.

Shafee: Anda guna duit Jho Low sebagai sebahagian daripada bayaran itu?

Amhari: Ya. Wang itu masuk menerusi pindahan bank.

Wang itu dari Alsen Chance Holding Ltd, milik Low.

Shafee bertanya adakah beliau tahu syarikat itu sedang disiasat oleh pihak berkuasa AS, di mana Amhari berkata beliau tidak tahu.

12.03pm: Amhari berkata beliau dapat wang itu daripada Low sebagai pinjaman. Katanya, beliau minta ramai orang untuk pinjam wang, dan Low beri kepadanya.

Shafee bertanya adakah beliau cuba dapatkan pinjaman daripada Bank Negara. Amhari berkata beliau cuba.

Shafee: Jadi anda cuba tempat lain? Jadi bagaimana Jho Low tahu anda perlukan wang?

Amhari: Saya minta Jho Low pada 2010.

11.59am: Shafee tanya Amhari tentang AS$200,000 lagi daripada Jho Low yang menjjadi subjek siasatan.

Amhari: Saya isytihar perkara itu.

Shafee: Adakah dalam kenyataan anda kepada SPRM?

Amhari: Ya.

Shafee: Tetapi tidak dalam kenyataan saksi di mahkamah? Kenapa tidak?

Amhari: Selepas beberapa bulan menulis kenyataan itu, ia tidak berakhir di situ.

11.59am: Shafee soal adakah SPRM tanya Amhari tentang hartanahnya, dan beliau menawab ya.

Shafee: Mereka tanya tentang hartanah itu untuk tahu sama ada gaji anda sepadan dengan gaya hidup anda?

Amhari: Mereka tanya tentang rumah saya di Kota Damansara, satu rumah lagi rumah juga di Kota Damansara.

SPRM juga bertanya tentang dua lagi pangsapuri studio miliknya di Johor.

“Ada satu lagi hartanah saya sedang hendak beli di Pavilion Damansara Heights. Saya tandatangan untuk beli tetapi tarik diri.”

Shafee: Ini RM3.8 juta?

Amhari: Ya. Tetapi saya batalkan selepas saya diminta oleh Khazanah untuk letak jawatan, selepas PRU14 mereka tamatkan perjawatan saya.

11.55am: Shafee: Bila SPRM ambil keterangan anda, adakah anda sukarela beri maklumat tentang AS$800,000 itu. Saya cadangkan kepada anda bahawa mereka tunjukkan akaun itu kepada anda.

Amhari: Saya tidak ingat.

Shafee mencadangkan bahawa Amhari terkejut dengan perkara itu. Amhari berkata tidak.

11.50am: Shafee bertanya Amhari “Anda tanya dengan tiga orang sama ada patut datang mesyuarat itu? ? Jho Low, Azlin dan Najib. Anda pilih untuk mendapatkan pengesahan daripada Najib atas kehendak sendiri?”

Amhari: Ya.

Shafee: Tentang arahan yang tidak-begitu-penting, anda fikir bijak untuk periksa semula dengan Najib dan Amhari setuju.

Shafee: Anda dinasihatkan oleh Azlin untuk tidak mendengar cakap sesiapa kecuali Najib. Beliau merujuk kepada Jho Low?

Amhari: Ya.

Shafee: Jika begitu, anda ke Singapura dan buka akaun tanpa periksa. Anda tidak pergi ke bilik Naib dan “eh boss boleh ke?”

Amhari: Konteks itu berbeza.

Shafee: Anda setuju dengan saya walaupun konteksnya berbeza, yang kedua itu jauh lebih penting untuk minta pengesahan?

Amhari: Saya tidak setuju.

11.44am: Shafee melihat keterangan saksi Amhari, di mana Low menghantar mesej BlackBerry kepadanya berkata beliau dapat restu Najib yang Amhari perlu hadir dalam mesyuarat untuk membincangkan penubuhan Terengganu Investment Authority.

Amhari kemudian bertanya kepada Najib tentang perkara itu dan mendapati ia benar. Ini berlaku pada 2008.

Shafee: Anda tanya dengan Najib. Ini hanya hadir mesyuarat. Anda pergi periksa semula. Anda tidak percaya cakap Jho Low?

Amhari: Ya.

Shafee: Anda hadir atas kapasiti apa?

Amhari:Saya beritahu Najib yang Jho Low minta saya sahkan dengan beliau untuk saya pergi mesyuarat TIA.

Shafee: Anda kata Jho Low arahkan anda dan kata beliau dapat restu daripada Najib. Jho Low tidak pernah minta anda sahkan semula perkara itu dengan Najib?

Amhari: Saya setuju.

11.37am: Amhari berkata beliau mohon sekatan perjalanan dibatalkan kerana beliau sedang mencari pekerjaan dan mahu melawat keluarga dan menunaikan umrah tahun lalu.

Bila beliau kembali, beliau dikenakan sekatan sekali lagi.

Amhari berkata beliau disiasat oleh polis kerana jenayah komersial dan AMLA.

11.34am: Amhari berkata beliau tidak tahu atas kesalahan apa ikat jaminnya dibenarkan.

Shafee: Mereka tidak beritahu anda sama ada siasatan terhadap anda sudah selesai atau adakah anda akan didakwa?

Amhari: Saya tidak tahu.

Shafee: Adakah pasport anda ada pada anda?

Amhari: Ya.

Shafee: Tetapi ada sekatan perjalanan?

Amhari: Ya.

11.32am: Mahkamah bersambung semula. Shafee memohon maaf kepada Sequerah atas kelewatan itu kerana Najib minum kopi.

Shafee bertanya kepada Amhari adakah pada masa ini beliau sedang dalam ikat jamin. Amhari berkata ya.

11.29am: Najib tidak ada di mahkamah. Hakim Sequerah menunggunya.

11.27am: Mahkamah kembali bersidang.

11.04am: Shafee berkata pada bila-bila masa Amhari bertemu Najib, beliau boleh bertanya mengenai akaun asing dengannya. Amhari tidak bersetuju.

Mahkamah berehat selama 15 minit.

10.58am: Shafee: Anda berasa ancaman mungkin datang dari PMO atau PM sendiri?

Amhari: Tidak secara langsung tetapi Jho Low mempunyai restu Najib.

Shafee: Anda berasa ancaman daripada bos sendiri (Najib) yang disampaikan oleh Jho Low?

Amhari: Selepas Azlin menjelaskan, ancaman itu bukan secara langsung daripada PM.

Shafee: Anda boleh sahaja bertanya kepada Najib. Ia satu perkara mudah. Anda boleh bertanya kepadanya jika beliau membenarkan perkara ini. Sekiranya tindakan itu dibuat, ancaman tidak akan ada.

Amhari: Saya tidak setuju.

10.55am: Shafee mengatakan pada 2012, Amhari mendakwa perlu mengikut arahan dan membuka akaun kerana takut kehilangan pekerjaan serta ancaman kepada keluarga dan kehidupannya.

Amhari: Saya tidak setuju. Azlin memberitahu saya ini.

Shafee: Anda mesti mempunyai idea siapa yang akan mengancam nyawa anda? Atau adakah anda mengatakan Najib akan membawa pistol dan menembak anda?

Amhari: PM mempunyai kuasa untuk melakukan banyak perkara. Apabila saya mengatakan hidup saya, ia tidak bermaksud nyawa saya, saya maksudkan kehidupan saya.

Tindakan harian saya dan saya tidak akan tahu bagaimana Jho Low mentafsirkannya dan menghubungkannya dengan Najib. Ini dibincangkan ketika Azlin memberi taklimat kepada saya.

10.51am: Shafee mencadangkan ia adalah gambaran imaginasi Amhari yang wang itu adalah untuk tujuan politik.

Amhari: Saya tidak setuju.

Shafee: Saya katakan kepada anda bahawa wang dalam akaun adalah ganjaran kepada anda kerana membantu Jho Low dalam banyak perkara.

Amhari: Saya tidak setuju.

10.48am: Shafee mencadangkan SPRM sedang menyiasatnya kerana menerima rasuah daripada Low. Amhari berkata beliau tidak ingat.

10.45am: Shafee bertanya Amhari ketika SPRM menahannya, adakah beliau diberitahu sama ada terdapat kesalahan berkaitan dengan akaun itu.

Amhari: Ya, betul.

Shafee: Anda bersetuju SPRM memberitahu ia adalah kesalahan di bawah AMLA (pengubahan wang haram)?

Amhari: Tidak, mereka tidak memberitahunya.

Shafee: Adakah mereka memberitahu mengapa mereka menangkap anda?

Amhari: Mungkin mereka ada memberitahu, tetapi saya tidak ingat.

10.37am: Amhari berkata beliau tidak tahu apa yang berlaku dengan akaun Bangkok.

10.30am: Shafee berkata dalam perbicaraan SRC International, beberapa ratus juta masuk ke akaun Najib untuk pilihan raya.

Beliau bertanya sama ada masuk akal Low membuka akaun di Singapura untuk beberapa ratus ribu dolar sedangkan perdana menteri sendiri membuka akaun peribadi di AmBank untuk menerima ratusan juta dolar.

Shafee: Adakah anda terfikir Jho Low mengarut. Sedangkan bos saya (Najib) membuka akaun dengan jutaan dolar. Kenapa beliau perlu membuka akaun Singapura?

Amhari: Tidak.

Selepas gagal membuka akaun di China, Amhari pergi ke Bangkok mengikut arahan Low untuk membuka akaun di sana.

10.27am: Shafee mencadangkan Low tidak memberitahu Amhari wang itu sepatutnya digunakan untuk PRU13 pada 2013.

Shafee mencadangkan AS$ 800,000 adalah jumlah yang kecil untuk pilihan raya. Amhari tidak bersetuju.

10.24am: Amhari berkata Low memberitahunya akaun BSI disediakan untuk tujuan politik.

10.23am: Amhari berkata beliautahu ketika pergi ke China mengenai wang dalam akaun BSI. Beliau ke China pada 2016 sementara akaun BSI dibuka di Singapura pada 2012.

10.22am: Shafee mencadangkan Amhari ke China untuk membuka akaun lain untuk memindahkan wang BSI memandangkan beliau menyedari dana dalam akaun BSI.

10.21am: Shafee bertanya Amhari sama ada beliau sedar AS$800,000 dimasukkan ke dalam akaun BSI.

Amhari berkata tidak mengetahui wang dalam akaun itu kerana tiada petunjuk atau maklumat wang didepositkan ke dalam akaun itu.

10.17am: Amhari berkata beliau tidak berasa curiga kerana mengikut arahan dan Low memberitahu akan menguruskan akaun itu.

Amhari bersetuju dengan cadangan yang beliau benar-benar percaya kepada Low.

Shafee berkata dia tidak akan menyebut Azlin kerana beliau sudah meninggal dunia dan tidak dapat mempertahankan dirinya.

10.15am: Shafee bertanya Amhari jika ingat mengenai Aero Sphere Ltd dan Amhari menjawab “iya”. Ia adalah sebuah “shell company” yang didaftarkan di bawah akaun banknya.

Beliau adalah pemegang saham tunggal.

Shafee: Adakah anda tidak tertanya-tanya mengenai perkara ini?

Amhari: Saya tertanya-tanya.

Shafee: Tetapi awak tidak mengambil tindakan lanjut?

Amhari: Tidak, saya tidak melakukannya.

10.08am: Amhari berkata beliau ditahan pada 26 Jun 2018, selama tujuh hari oleh SPRM.

Kenyataannya direkodkan oleh SPRM dalam tempoh tujuh hari. Amhari berkata beliau tidak disoal siasat oleh SPRM, hanya disoal.

10.04am: Akaun bank itu adalah di bawah BSI.

Amhari mengatakan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai akaun kerana Low menyimpan segala-galanya. Maklumat itu kini dengan SPRM.

10.02am: Shafee mengatakan orang luar memberitahu anda untuk membuka akaun untuk pembiayaan politik dan anda membukanya dengan Azlin dan anda tidak mengambil sebarang tindakan untuk memastikan Najib sebagai PM tahu mengenainya.

Amhari: Saya tidak setuju.

Amhari berkata beliau percaya akaun itu dibuka di Singapura adalah di bawah namanya, sambil menambah beliau bukanlah nama tunggal dalam akaun itu.

Shafee: Adakah anda memberitahu mahkamah bahawa sebagai bekas pegawai BNM, anda tidak tahu sama ada ia berada di bawah syarikat atau peribadi?

Amhari: Saya tidak pasti dengan analogi perbankan.

10.00am: Amhari berkata beliau tidak tahu sama ada Azlin memberitahu mengenai akaun bank itu kepada Najib.

9.59am: Shafee berkata Najib memberitahunya beliau tidak tahu Amhari mempunyai akaun di Singapura.

Shafee: Anda percaya Jho Low “bulat-bulat” dan tidak memeriksa dengan Najib?

Amhari: Saya tidak pernah melakukannya. Kerana saya mengikuti Azlin, saya mengikuti taktik politikya. Saya adalah seorang junior pada masa itu, saya tidak pernah mempunyai hubungan secara terus dengan Najib ketika itu. Jadi saya mengikuti Azlin.

9.56am: Shafee bertanya sama ada beliau sedar yang bosnya adalah PM dan menteri kewangan.

Shafee: Tidakkah anda menyedarinya anda perlu mengikuti peraturan untuk membuka akaun luar negara?

Amhari: Saya tidak tahu mengenai peraturan ini. Mereka memberi saya arahan. Azlin dan Jho Low sepatutnya sedar mengenai peraturan ini.

9.54am: Amhari berkata beliau tidak meminta kelulusan BNM apabila diminta membuka akaun bank luar negara oleh Jho Low.

Amhari berkata beliau mengikut arahan Low dan Azlin dan akaun itu dibuka di Singapura.

9.47am: Shafee bertanya Amhari mengenai kelayakannya. Beliau lulusan Universiti Warwick dalam bidang ekonomi.

9.44am: Shafee meminta maaf kerana kelewatannya dan berkata beliau mengalami masalah lalu lintas. Shafee memulakan sesi soal balas.

9.36am: Najib duduk di galeri awam menunggu prosiding bermula.

Prosiding hari ini akan menyaksikan pasukan pembelaan menyoal balas bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin. – 5 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen