Jangan jadi fanatik, kata kumpulan antara agama


Yasmin Ramlan Melati A. Jalil

Presiden Majlis Perundingan Buddhisme, Kristian, Hindu, Sikhisme dan Taoisme Malaysia, R.S. Mohan Shan berkata, setiap agama mengajar penganutnya bersikap toleransi, supaya ia dapat diterjemahkan kepada tindakan seseorang itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2017.

RAKYAT Malaysia tidak sepatutnya bersikap fanatik apabila mengamalkan agama mereka kerana ini adalah negara berbilang kaum, kata kumpulan antara agama.

Presiden Majlis Perundingan Buddhisme, Kristian, Hindu, Sikhisme dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) R.S. Mohan Shan menegaskan tidak ada agama yang meminta pengikutnya menjadi fanatik, sebaliknya mengajar bersikap toleransi.

“Saya mengalu-alukan kenyataan tersebut (kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu). Ia adalah tugas mereka sebagai pemimpin kepada orang Islam dan juga semua penganut. Ia merupakan tanggungjawab mereka memperbetulkan sesuatu sekiranya terdapat perkara tidak betul.

“Tiada agama menyuruh penganutnya menjadi fanatik. Ia (agama) mengajar kita supaya bertoleransi supaya ia dapat diterjemahkan kepada perbuatan (bertoleransi),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Majlis Raja-Raja Melayu mendukung pendirian tegas Sultan Johor dan Raja Muda Perlis berhubung kes “kedai dobi untuk orang Islam sahaja” yang dikesan di dua negeri itu baru-baru ini, sekali gus melahirkan kebimbangan tentang cubaan individu tertentu menggugat perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Syed Danial Syed Ahmad berkata Raja-Raja Melayu bimbang tindakan itu yang dilakukan atas nama Islam boleh membawa kesan yang mendalam.

Katanya, Raja-Raja Melayu menggesa rakyat agar mempertahankan imej Isam yang toleran, sederhana dan inklusif.

Menurut Mohan lagi, beliau berterima kasih kepada Majlis Raja-Raja Melayu atas keputusan tersebut kerana ia akan memberikan negara ini menjadi lebih harmoni dan aman.

“Fanatisisme bukan hanya ditujukan kepada orang Islam sahaja, tetapi juga kepada penganut agama yang lain juga.

“Kita tidak boleh menjadi terlampau fanatik dalam mengamalkan agama kita kerana kita hidup bersama-sama dengan penganut agama lain,” katanya. – 11 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen