KETIKA Pesta Cahaya semakin hampir tiba, ironinya banyak keluarga yang meraikan Deepavali di Malaysia berdepan dengan kegelapan akibat kos sara hidup amat tinggi dan barangan semakin mahal.
Walaupun Bank Dunia meramalkan pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (KNK) positif 5.2% bagi suku ketiga, purata rakyat Malaysia masih terus terpaksa bergelut dengan inflasi yang mencecah 3.7% pada Ogos, berbanding 3.2% pada Julai.
Juruteknik penyeliaan kren L. Ganesan, 37, dari Klang berkata Deepavali waktu yang paling memberi tekanan kepadanya kerana terpaksa perah otak mencari wang tambahan untuk keluarganya pada musim perayaan.
Syarikat tempat dia bekerja tidak lagi menawarkan kerja lebih masa untuk kakitangan, sebagai sebahagian kaedah potongan bajet.
“Tidak ada lagi kerja lebih masa sejak tiga bulan lalu. Jadi saya terpaksa bertahan dengan hanya gaji pokok.
“Deepavali tahun ini pasti sukar. Dengan harga barang naik, saya terpaksa berhati-hati berbelanja. Saya juga terpaksa cari jalan dapatkan wang tambahan untuk keluarga,” katanya.
Perayaan tanpa kegembiraan
Bagi pemandu teksi R. Ravichandran, 54, dan keluarganya, Deepavali tidak bermakna apa-apa selain daripada ia salah satu hari cuti umum. Perniagaannya terjejas teruk akibat syarikat seperti Uber dan Grab.
“Keadaan sangat susah bagi saya sejak setahun lalu, selepas kerajaan menggalakkan orang ramai memandu Uber dan Grab menerusi pengumuman Bajet 2017 pada Oktober lepas. Ia membunuh industri teksi dan pemandunya.
“Pada kebanyakan hari sekarang ini, saya hanya dapat seorang penumpang. Adalah dalam RM15. Saya bayar RM20 untuk minyak dan RM30 sewa teksi. Apa saya dapat?,” katanya, sambil membuka dompet yang hanya ada beberapa ringgit di dalamnya.
Ravichandran berkata dia dan isterinya terpaksa bersusah payah mencari wang menyediakan makanan untuk tiga anak mereka, dan tidak mampu membeli pakaian baru untuk sambutan Deepavali.
“Sekarang saya hantar anak ke sekolah dengan bekal roti kosong saja. Tidak ada duit hendak beli jem atau mentega,” katanya.

Bagi golongan pertengahan juga, mereka berhati-hati dalam berbelanja untuk Deepavali tahun ini dan semua bajet perayaan terpaksa dikurangkan.
Guru sekolah rendah J. Sunthari, 32, dari Damansara mula menyimpan duit untuk Deepavali sejak Mei lalu, tetapi mengurangkan separuh daripada bajet perayaan itu sebagai langkah berjaga-jaga.
“Tahun lalu saya belanja RM500 untuk beli-belah. Tahun ini had saya RM200. Saya rasa lebih baik simpan wang untuk perkara lebih penting terutama dalam keadaan ekonomi yang perlahan sekarang,” katanya.
“Rumah terbuka kami hanya untuk keluarga. Kami tidak buat banyak manisan atau biskut tahun ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sukar elak perbelanjaan pada musim perayaan
Sementara ramai yang berusaha memotong bajet perbelanjaan, ada juga mendakwa sangat sukar untuk berbuat demikian kerana sambutan untuk Deepavali biasanya membabitkan keluarga besar.
Bagi pensyarah universiti swasta S. Anita, 41, ramai ahli keluarga mentuanya akan meraikan Deepavali di rumahnya.
“Tahun ini kami jadi tuan rumah, jadi kami akan berbelanja lebih. Saya rasa kami tidak ada pilihan sangat dalam hal berbelanja untuk musim perayaan,” katanya.
Ibu kepada seorang anak itu berkata hampir semua barang mahal sekarang, terutama barangan import seperti rempah ratus dan minyak sapi.
“Jadi saya beli rempah secara borong. Saya beli untuk adik-beradik saya juga. Ia lebih murah beli dengan pemborong,” katanya.

Anita berkata dia menjangkakan harga daging kambing akan lebih mahal tahun ini menjelang sambutan Deepavali pada 18 Oktober, walaupun daging ialah barangan harga kawalan.
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, harga daging kambing tempatan dan import akan dikawal pada Deepavali sepanjang tempoh penguatkuasaan dari 13 hingga 22 Oktober.
Harga borong untuk daging kambing tempatan dengan tulang ialah RM37 dan RM38 sekilo di semenanjung dan Pulau Pinang. Harga jualan ialah RM40 dan RM41.
Bagi daging kambing dengan tulang yang diimport, harganya ialah RM19 (semenanjung), RM28 (Sarawak) dan RM29 (Sabah dan Labuan). Harga jualan ialah RM24 (semenanjung), RM30 (Sarawak) dan RM31 (Sabah dan Labuan).
Walaupun ada penguatkuasaan itu, Anita berkata dia masih menjangkakan ada peniaga akan mengambil kesempatan menaikkan harga ketika hampir Deepavali nanti.
“Tetapi saya masih tetap akan membelinya. Kami hanya makan daging kambing setahun sekali sempena Deepavali,” katanya. – 14 Oktober, 2017.
Komen