DULU bazar di Pulau Pinang dan Lembah Klang meriah setiap kali datangnya sambutan Deepavali dengan peniaga menjual makanan dan pakaian berwarna-warni, tetapi tahun ini suasana sunyi apabila ramai rakyat Malaysia ikat perut akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.
Peniaga dan perniagaan kecil yang selama ini bergantung pada jualan besar setahun sekali pada musim Deepavali, berkata keuntungan mereka merudum sejak beberapa tahun terakhir ini, dengan ada yang mendakwa hendak pulang modal kos operasi dan barang pun susah.
Raj Ganeson, 33, yang menjual manisan dan makanan ringan di tepi jalan di Little India, Pulau Pinang berkata pelanggan tetapnya beritahu bajet mereka terhad dan terpaksa berbelanja sedikit saja untuk perayaan kali ini.
“Siapa yang ada duit hendak belanja zaman sekarang? Kebanyakan hanya purata gaji RM2,000 sebulan, dan setiap keluarga membelanjakan RM30 sehari untuk makanan.
“Tambah lagi belanja lain seperti bil utiliti, telefon, Internet, pinjaman bank, duit poket, belanja sekolah, yuran tuisyen dan mungkin pengasuh anak, berapa banyak lagi duit yang tinggal?,” katanya.
Walaupun Raj dan isterinya kadangkala boleh mendapat RM300 sehari hasil jualan, sebahagian besarnya untuk kos barang dan operasi.
“Bahan yang digunakan makin mahal. Kami juga perlu belanja petrol. Harga minyak naik dan turun, tak membantu langsung. Ia biasanya naik saja, turun sesekali,” katanya.
Inflasi mencecah 3.7% pada Ogos, berbanding 3.2% pada Julai, menurut laporan Jabatan Statistik, bulan lalu.
Inflasi teras meningkat 2.4% pada Ogos 2017 berbanding bulan sama tahun lalu.
Antara kumpulan utama yang merekodkan peningkatan ialah indeks untuk makanan dan minuman tidak beralkohol (+4.3%); pengangkutan (+2.1%); perumahan, air, elektrik, gas dan minyak lain (+2.9%); restoran dan hotel (+2.8%); kesihatan (+2.7%); perabot, peralatan rumah dan penyelenggaraan rutin rumah (+2.7%).
Di Brickfields dan Klang, peniaga di bazar Deepavali juga berdepan dengan perniagaan yang tidak memberangsangkan.
Dalber Kaur, 65, yang menjual biskut buatan sendiri sejak 17 tahun lalu di bazar perayaan berkata, tahun lalu, hasil jualannya hendak bayar sewa gerai dan kos barang pun susah.
“Saya buat lebih banyak biskut tahun ini. Saya harap ramai orang. Berniaga agak perlahan, tetapi kami masih ada seminggu lagi sebelum Deepavali,” katanya.
Dalber berkata walaupun harga barang makin naik akibat cukai barangan dan perkhidmatan (GST), dia tidak menaikkan harga biskutnya.
“Kos saya meningkat tetapi saya tidak boleh naikkan harga biskut. Jika saya naikkan, pelanggan akan merungut dan pergi tempat lain. Saya tidak ada pilihan lain, terpaksa untung kecil,” katanya.
Pelajar, M. Nishalini, 20, yang membantu ibunya menjual sari dan baju Punjabi di bazar Brickfields berkata baju biasanya akan cepat terjual dalam tempoh hari tiba hari perayaan seperti sekarang ini, tetapi ia tidak berlaku pada tahun ini kerana jualan pakaiannya sangat lembap, walaupun ada tawaran diskaun sehingga 50%.
“Pelanggan cuma datang untuk lihat harga dan buat perbandingan,” katanya.

Nishalini dan ibunya membuat pinjaman wang daripada saudara mara mereka untuk membeli pakaian dari India, dan menambah stok mereka sehingga 20% kali ini.
“Kami harap dapat untung, tetapi jika keadaan seperti ini, kami akan jual pada harga kos untuk sekurang-kurangnya dapat semula perbelanjaan kami dan sewa,” katanya.
Seorang lagi peniaga pakaian R. Umadevi berkata perniagaan di Little India menurun sejak tiga tahun terakhir ini.
“Perniagaan seperti saya ini bergantung pada musim beli-belah ketika sambutan Deepavali. Little India selama ini jadi lokasi utama di mana keluarga India beli-belah barang keperluan mereka. Tetapi sekarang keadaan sudah berubah,” katanya.
Katanya, dia terpaksa menawarkan harga paling murah untuk barang jualannya, kerana kebanyakan pelanggan pentingkan harga, bukannya kualiti.
Baju dijual di gerainya berharga antara RM15 hingga RM90, dengan ada sari serendah RM30, katanya.
“Saya kena terima realiti yang saya tidak akan dapat untung besar,” katanya yang berniaga sejak 19 tahun lalu. – 14 Oktober, 2017.
Komen