ADIK kepada Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal ditahan reman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung siasatan penyelewengan peruntukan projek luar bandar di Sabah berjumlah RM1.5 bilion.
Pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Faliq Basirudin terdahulu memohon tahanan reman selama tujuh hari dikenakan terhadap Hamid Apdal, 52, tetapi mahkamah mengurangkan kepada lima hari.
Majistret Stephanie Sherron Abbie membenarkan permohonan itu tengah hari tadi selepas Hamid ditahan jam 9.30 malam tadi.
Difahamkan, Hamid disoal siasat selama 10 jam oleh SPRM dan rumahnya di Putatan turut diserbu kira-kira jam 6 petang semalam.
SPRM dijangka melakukan beberapa lagi tangkapan dan menyiasat sehingga 60 syarikat antara 2009 hingga 2015 membabitkan peruntukan persekutuan sebanyak RM7.5 bilion untuk melaksanakan projek luar bandar di Sabah.
Kira-kira RM1.5 bilion didakwa diselewengkan dalam tempoh itu. SPRM setakat ini membekukan RM180 juta dalam beberapa akaun.
Hamid ialah ahli Umno Bahagian Semporna dan bekerja sebagai sukarelawan di sebuah masjid di Sabah.
Setakat ini SPRM menahan Naib Presiden Warisan Peter Anthony, Ketua Pemuda Warisan Mohad Azis Jamman, seorang timbalan setiausaha kementerian pembangunan wilayah dan luar bandar, seorang ahli perniagaan berusia 54 tahun, Ketua Pemuda Umno Tenom Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda Umno Tawau Ariffin Kassim untuk membantu siasatan dalam kes itu. – 11 Oktober, 2017.
Komen