SEORANG bekas pengarah anak syarikat Felcra mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan dengan nilai keseluruhan RM1.648 juta.
Bekas pengarah urusan Felcra Training & Consultancy Sdn Bhd, Rohaizat Ahmad, didakwa berhubung pemberian projek kepada syarikat menantu dan anaknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Rohaizat, 54, di antara 23 April 2014 sehingga 27 Jun 2018.
Kesemua 33 pertuduhan Rohaizat dibacakan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Timbalan Pendakwaraya Hamdi Jumaat memohon Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan jaminan sebanyak RM150,00 ke atas Rohaizat dan agar pasport tertuduh diserah kepada mahkamah.
“Dan tertuduh perlu melaporkan diri di mana- mana cawangan SPRM terdekat setiap bulan,” katanya.
Peguam Hamidi Mohd Noh bagiamanapun meminta jaminan dikurangkan kepada RM50,000 kerana tertuduh sudahpun diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
“Anak guam juga mempunyai tanggungan menyara enam anak dan beliau hanya pekerja yang makan gaji dengan pendapatan sebulan antara RM8,000 hingga RM9,000 dalam kategori tidak berkemampuan.
Hakim Azura Alwai kemudiannya menetapkan jumlah ikat jamin sebanyak RM80,000 dan sebutan semula kes akan pada 10 Oktober.
Rohaizat ditahan SPRM pada September 2018.
Pada Mei lalu, pengerusi bukan eksekutif Felcra Bung Moktar Radin didakwa di mahkamah bersama isteri, Zizie Ezette Abdul Samad atas tuduhan menerima suapan RM2.8 juta.
Tuduhan itu berhubung pelaburan Felcra dalam unit amanah bernilai RM150 juta. – 4 September, 2019.
Komen