LANGSUNG: Jho Low ke China untuk dapatkan pelaburan bagi membayar hutang 1MDB, kata saksi


Bede Hong Timothy Achariam

Bekas pembantu khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan 1MDB, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 September, 2019.

BEKAS pengawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin dijangka selesai membaca teks keterangan saksi sebanyak 77 muka surat di perbicaraan 1MDB hari ini dan akan diikuti soal balas oleh pasukan pembelaan.

Semalam, saksi memberi keterangan Low Taek Jho adalah sebahagian daripada orang dalam  Najib sebelum menjadi perdana menteri pada 2009.

Saksi itu berkata beliau pertama kali bertemu Low pada 2007 di Pulau Pinang. Ketika itu Low berusia dua puluhan dan dianggap sebagai “penasihat tidak rasmi” Najib apabila ia berkaitan dengan pelaburan dan kemudian, 1MDB.

Amhari berkata Low ketika mempunyai karisma dan “kuasa luar biasa” apabila berurusan dengan Najib.

Low belajar di luar negara bersama anak tiri Najib, Riza Aziz dan kelihatan rapat dengan isteri Najib, Rosmah Mansor kata saksi itu.

Amhari berkata beliau memperkenalkan Low kepada ketua setiausaha peribadi Najib, Azlin Alias. Amhari berkata beliau kemudian diberi taklimat oleh Low berhubung pembentukan Terengganu Investment Authority (TIA), yang akan dimodelkan daripada Mubadala Investment Capital, dana kekayaan berdaulat yang dikendalikan oleh Emiriah Arab Bersatu.

Najib kemudian menandatangani dokumen mengubah pemilikan TIA daripada kerajaan negeri kepada Kementerian Kewangan, yang dipimpinnya, pada September 2009. TIA juga dinamakan semula sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Amhari, Azlin dan Low ketika itu akan mengadakan mesyuarat bulanan tetap untuk membincangkan perkara 1MDB. Ahmari berkata hanya Low dan Najib mempunyai gambaran penuh mengenai urusan mereka.

Amhari berkata pada awal 2015, laporan media yang mengaitkan syarikat filem Riza, Red Granite Pictures, kepada dana 1MDB mula muncul.

Pada Januari atau Februari, 2015, Azlin semakin tertekan, dan pada satu ketika pernah menghempas dokumen di atas meja dan menjerit “Duit 1MDB lah bro!”. Amhari berkata kejadian itu diluar kebiasaan sikap Azlin.

Najib berdepan 25 tuduhan - empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh RM2.3 bilion dan 21 lagi tuduhan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan jumlah yang sama.

Beliau berdepan hukuman 20 tahun penjara jika didapati bersalah.

Najib diwakili sepasukan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.

Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, mengetuai pendakwaan sementara hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah mendengar perbicaraan.

Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan 1MDB, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 September, 2019.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

3.13pm: Hakim bersetuju. Perbicaraan ditangguhkan hari ini.

3.11pm: Sri Ram menamatkan pemeriksaan balasnya.

Shafee bertanya sama ada beliau boleh memulakan pemeriksaan balas esok kerana perlu merujuk anak guamnya berhubung kenyataan saksi.

3.10pm: Amhari berkata setiap kali beliau menerima arahan dari Najib, akan ada susulan daripada Low sama ada melalui emel atau panggilan telefon.

3.08pm: Sri Ram: Berapa lama kamu berinteraksi dnegan Jho Low mengikut tahun?

Amhari: Secara fizikal, keseluruhannya 11 tahun.

Sri Ram: Adakah kamu mengenalinya dengan rapat?

Amhari: Saya boleh kata demikian.

3.07pm: Mereka menyemak dokumen.

3.04pm: Sri Ram: Dalam keterangan kamu, kamu katakan Jho Low mahu menunjukkan PetroSaudi ada hubungan dengan kerajaan Arab Saudi dan keluarga diraja.  Apa yang membuat kamu menyimpulkan bahawa ini adalah niatnya?

Amhari: Low memberikan penjelasan seperti itu. Dan ia tertera pada surat dan salinan dokumen yang telah ditunjukkannya kepada kami.

3.01pm: Sri Ram menyoalnya mengenai pegawai PR Najib, Paul Stadlen.

Amhari berkata tidak banyak yang beliau tahu tentang Stadlen.

Menurutnya, Stadlen adalah pengunjung biasa di PMO.

Amhari: Tugasnya adalah untuk melihat semua komunikasi antarabangsa yang berkaitan Najib. Beliau lapor kepada Najib.

2.59pm: Sri Ram: Kamu kata Jho Low ada dalam lingkungan itu. Apa yang buatkan kamu berikan pandangan demikian?

Amhari: Saya berpandangan demikian kerana pertemuan saya dengan Low adalah beliau bercakap mengenai keluarga Najib dan di luar kerja. Sebagai contoh, beliau kata ada berjumpa Rosmah (Mansor) di kediamannya dan merancang perjalanan keluarga itu.

Sri Ram bertanya mengenai kenyataannya di mana Amhari berkata orang Najib bekerja dalam silo.

Sri Ram: Itu idea siapa?

Amhari: Difahamkan. Ketua staf menekankan hal ini. Najib juga menghargai gaya kerja ini.

2.57pm: Sri Ram: Bagaimanakah dia kepada tertuduh?

Amhari: Beliau setia dan patuh pada arahan.

Sri Ram: Dalam kenyataan saksi, kamu mencadangkan bahawa tidak logik untuk Azlin meminta Najib membuka akaun. Mengapa kamu kata demikian?

Amhari: Bukan tugasnya untuk menasihat dan memulakan ini.

Sri Ram: Dalam perenggan lapan kenyataan kamu, peranan kamu di pejabat PM, apa peranan kamu sebagai orang media?

Amhari: Saya menguruskan, mentadbirkan kandungan media sosial Najib di Facebook, Twitter dan sebagainya. Saya berinteraksi dengan Najib sekerap mungkin.

Sri Ram: Mengapa kamu perlu berbuat demikian?

Amhari: Media sosial adalah dinamik dan pantas. Apa yang paling penting kami perlu gambarkan imej Najib. Kami perlu menirunya, bercakap dan menulis sepertinya agar rakyat tahu ia adalah beliau di media sosial.

2.54pm: Sri Ram meneruskan pemeriksaan balas.

Amhari diminta terangkan tentang Azlin.

Beliau berkata, selama tujuh tahun bekerja dengan Azlin, beliau seroang penyabar, merendah diri dan orang yang patuh pada arahan. Beliau juga bijak dan pembersih.

2.52pm: Ini menyimpulkan kenyataan saksi Amhari. Beliau kini dikehendaki menandatangani setiap salinan kenyataan saksi yang telah diberikan kepada peguam bela dan mahkamah.

2.50pm: Amhari berkata, cek RM2 juta yang dikeluarkan Najib kepada Orb Solutions, diserahkan secara serahan tangan kepadanya.

Menurutnya, beliau berikan cek itu kepada Orb Solutions.

2.47pm: Amhari bercakap mengenai peranannya di Orb Solution, sebuah syarikat yang ditubuhkan untuk mempromosi inisiatif 1Malaysia.

Beliau merupakan salah seroang daripada pengarah syarikat, dan orang tengah antara syarikat itu dan Najib.

Katanya, beliau mempunyai peranan bukan eksekutif di Orb Solution, dan menambah peranannya adalah untuk memastikan syarikat itu mempunyai dana untuk menjalankan tugasnya.

2.43pm: Amhari berkata terdapat dokumen lain yang menyatakan Najib ke China pada November 2016 untuk memuktamadkan “Perjanjian Penuh EPCC” antara China Communications Construction Company (CCCC) dengan ECRL Sdn Bhd.

Menurutnya, beliau berpendapat ia adalah jaminan berhubung kerugian yang ditanggung 1MDB dan SRC International.

2.37pm: Menurutnya, bekas pengarah eksekutif kewangan 1MDB Terence Geh dipilih menjadi sekretariat projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Amhari berkata, Low menyediakan dokumen ketiga-tiga projek berkenaan untuk Najib bawa ke majlis ekonomi bagi mendapatkan kelulusan.

2.33pm: Semasa rehat, pendaftar mahkamah memaklumkan perbicaraan diteruskan seperti biasa sehingga pukul 5 petang.

Amhari menyambung membaca kenyataan saksinya.

1.09pm: Mahkamah berhenti rehat sebentar. Kedua-dua pihak bersetuju tiada rehat makan tengah hari dan pendengaran akan berlangsung sehingga jam 2.30 petang.

12.45pm: Amhari menamatkan kenyataan saksinya.

12.37pm: Amhari berkata berbelanjaan beliau ke China dan Abu Dhabi dibayar semula oleh Najib di rumahnya. Beliau berkata tidak membuat tuntutan daripada kerajaan.

12.20pm: Amhari yang agak beremosi berkata ia adalah keputusan paling sukar dilakukannya semasa bertugas.

Beliau mengatakan menghormati Najib dan berasakan menjadi tugasnya untuk ke China.

Beliau berkata Low menyertai beliau ke China, dan berada di sana untuk mendapatkan pelaburan bagi membayar hutang 1MDB.

12.16pm: Pada Jun 2016, Amhari berkata beliau dihantar ke China untuk mengukuhkan hubungan diplomatik.

Beliau berkata diberitahu oleh Najib agar pergi bersendirian dan Low akan mengatur semua butiran perjalanan.

Amhari berkata mahu berhenti kerja kerana berasa ia terlalu menekannya, terutamanya dengan kematian Azlin.

12.03pm: Amhari berkata Low memberitahunya akan menghantar beberapa “talking point” untuk digunakan dalam perbincangan dengan Khaldoon, sebagai kawalan kerosakan.

Satu hingga dua minggu selepas pertemuan dengan Najib, Amhari berkata beliau pergi ke pejabat Mubadala di Abu Dhabi.

Dalam pertemuan itu, Khaldoon memberitahunya Malaysia banyak berjanji pelbagai perkara tetapi tidak dipenuhi.

Khaldoon menyatakan mahu perjanjian baru.

Amhari berkata beliau akan bertindak sebagai perantara antara kedua-dua negara melalui saluran belakang supaya masalah itu tidak dibawa ke mahkamah antarabangsa.

12.00pm: Amhari berkata pada 2016, beliau dipanggil ke rumah Najib di Langgak Duta. Najib bertemu dengannya di ruang tamu dan meminta beliau ke Abu Dhabi untuk bertemu Khaldoon Mubarak, ketua pegawai eksekutif Mubadala di UAE.

Amhari berkata beliau dihantar ke sana sebagai fasilitator untuk memastikan isu Ipic tidak dibawa ke mahkamah. Ini kerana Abu Dhabi akan membawa “binding term sheet” antara Ipic dan 1MDB di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa.

Beliau berkata Najib memberitahunya jika Malaysia ke mahkamah antarabangsa kerana tidak membayar bon, ia akan mengeruhkan hubungan dengan UAE serta menimbulkan risiko politik kepada Najib pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata Najib meminta beliau meyakinkan Abu Dhabi untuk menyelesaikan isu ini di luar mahkamah.

“Ini adalah salah satu tugas rahsia yang Najib minta saya lakukan, kerana pada masa itu 1MDB menjadi isu hangat di media,” kata Amhari.

11.20am: Mahkamah diberitahu yang Low menyediakan dokumen dengan “beberapa fakta untuk bercakap” mengenai 1MDB. Amhari berkata Low menulis pada dokumen itu bahawa beliau tiada kaitan dengan 1MDB walaupun kenyataannya menjadi perancang di sebalik 1MDB.

10.59am: Amhari berkata bertemu Low di Hotel Prince untuk mendapatkan dokumen. Amhari diberitahu agar memusnahkan semua dokumen apabila selesai. Bagaimanapun, beliau menyimpannya.

10.58am: Sekitar lewat 2014 hingga awal 2015, Azlin dan Amhari menerima dokumen daripada Low yang bertajuk “Addressing concerns on 1MDB particularly its balance sheet”.
Amhari berkata dokumen diberikan supaya mereka dapat menjawab soalan mengenai 1MDB jika ada yang bertanya.

10.51am: Amhari berkata beliau percaya wang itu daripada Low kerana Low sendiri memberitahu Azlin, beliau berhasrat menggunakan dana itu untuk meraih pengundi di Pulau Pinang pada pilihan raya umum 2013 yang akan datang.

Amhari berkata tidak pernah mengetahui status akaun itu dan tidak pernah mengetahui di mana Low memperoleh wang.

10.50am: Amhari mengatakan kakitangan di Pejabat Perdana Menteri tidak pernah dibenarkan mempersoalkan dari mana dana politik datang kerana ia dilihat sebagai mempersoalkan kejujuran Najib.

10.49am: Wang daripada akaun terdahulu dipindahkan ke akaun Bangkok. Amhari berkata tidak pernah membelanjakan atau memindahkan mana-mana wang itu. Low mengatur dan memindahkan wang dalam akaun itu.

10.47am: Amhari pergi ke Shanghai untuk membuka akaun bank berdasarkan arahan Low. Tetapi Amhari tidak dapat membuka akaun di China. Beliau kemudian ke Bangkok, juga mengikut arahan Low, untuk membuka akaun di sana. Permohonannya membuka akaun di sana diterima.

10.45am: Azlin menasihatkan Amhari jangan membelanjakan wang dalam akaun ini. Amhari berkata mempunyai AS$800,000 dalam akaun bank tetapi tidak tahu di mana wang itu datang. Beliau menelefon bank untuk mendapatkan penjelasan tetapi bank itu mengatakan akaun sudah ditutup.

10.43am: Amhari berkata selepas beberapa kali menolak, beliau dan Azlin memutuskan untuk membuka akaun kerana takut akan diugut. Low juga memberi jaminan kepada mereka “bos akan menguruskannya”.

Beliau berkata Azlin juga tidak selesa dengan akaun itu. Dalam mesyuarat seterusnya, Low memaksa mereka membuka akaun, katanya.

Low sendiri mengendalikan pembukaan akaun dan mempunyai kuasa tunggal ke atas akaun ini walaupun ia menggunakan nama Amhari dan Azlin.

10.40am: Amhari mengatakan pada 2012, Low mengarahkan beliau dan Azlin membuka akaun di bank asing. Mereka diberitahu tindakan itu mendapat “restu” yang mereka faham merujuk kepada Najib.

Low berkata akaun ini akan digunakan sebagai urusan politik. Amhari berkata beliau takut akaun berkenaan akan digunakan untuk pengubahan wang haram.

10.27am: Mahkamah bersidang. Amhari dipanggil untuk memberi keterangan dan beliau kemudian menyambung semula membaca kenyataan saksi bertulisnya.

9.47am: Hakim Sequerah menetapkan tarikh pendengaran permohonan Umno Johor untuk membatalkan saman pelucuthakan SPRM.

Beliau juga mempengerusikan pengurusan kes lapan pihak lain dalam saman itu. – 4 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen