Seorang mangsa letupan bom Bandar Malaysia meninggal dunia, 2 kritikal


Low Han Shaun

Ketiga-tiga pekerja yang cedera akibat letupan bom di tapak pembinaan MRT Bandar Malaysia, Sungai Besi itu dalam dalam keadaan stabil semasa dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sebelum bertambah buruk malam tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2017.

SEORANG pekerja yang cedera parah akibat letupan bom Perang Dunia ke-2 di tapak MRT Bandar Malaysia semalam meninggal dunia, dengan dua yang lain masih kritikal, kata kontraktor utama MRT, MMC-Gamuda dalam satu kenyataan hari ini.

“Kami dukacita memaklumkan daripada tiga mangsa yang cedera, seorang meninggal dunia akibat kecederaan malam tadi. Dua yang lain berada dalam keadaan kritikal,” kata kenyataan daripada syarikat itu.

Kenyataan itu memaklumkan, ketiga-tiga pekerja am itu segera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan semalam, dan pada mulanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil semasa dimasukkan sebelum bertambah buruk pada waktu malam.

Tiga pekerja Bangladesh cedera parah dalam letupan itu, yang berlaku pada jam 5 petang semalam.

Laporan itu berkata, dua daripada mangsa terbabit putus kaki, manakala mangsa ketiga cedera di lengan dan kakinya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Amar Singh yang mengesahkan kejadian letupan berlaku semasa kerja-kerja pembinaan, berkata siasatan ke atas insiden itu sedang dijalankan.

“Kami masih menyiasat, kami hanya tahu ia adalah bom daripada Perang Dunia ke-2 yang meletup. Biar siasatan selesai terlebih dahulu,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini melalui telefon.

Seorang jurucakap dari HKL berkata tiga mangsa letupan di Bandar Malaysia ialah pekerja pembersihan warga Bangladesh.

Mangsa yang meninggal dunia berusia 25 tahun, dua lagi berusia 34 tahun.

“Dua mangsa yang cedera parah pada masa ini masih di Unit Rawatan Rapi dan dirawat untuk kecederaan industri.

“Mangsa yang meninggal dunia akan dibawa ke jabatan forensik untuk bedah siasat,” katanya.

Pada Julai, dilaporkan bom dari Perang Dunia ke-2 seberat 227kg ditemui di kawasan pembinaan di Kota Kinabalu, Sandakan.

Bandar Malaysia Selatan adalah satu daripada 11 stesen bawah tanah bagi Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP). – 11 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen