PIHAK polis telah meminta pihak penganjur perhimpunan anti kleptokrasi pada Sabtu ini menukar lokasi ke Stadium Kelana Jaya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun memberi amaran tindakan boleh diambil terhadap penganjur sekiranya mereka meneruskan acara di padang Jalan Timur di Petaling Jaya.
Himpunan anti kleptokrasi Pakatan Harapan (PH) yang merupakan acara penutup siri ceramah itu di seluruh negara, dijadualkan diadakan di padang Jalan Timur pada Sabtu ini dari pukul 4 petang hingga 11 malam.
PH berkata ia menjangkakan ia akan dihadiri kira-kira 100,000 orang.
Bagaimanapun, pihak polis bertegas dengan keputusannya.
“Kami sudah membuat keputusan semalam yang kami tidak akan mengakui perhimpunan tersebut (jika ia akan diadakan di lokasi asal).
“Kami telah menerima laporan daripada orang-orang yang tinggal berhampiran yang perhimpunan itu akan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk,” kata Fuzi kepada pemberita selepas sesi “Integrity Talk Breakfast” di Pusat Latihan Polis di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Beliau menambah, lokasi itu tidak sesuai kerana padang itu hanya boleh menampung 10,000 orang manakala maklumat yang diterima mengatakan lebih 20,000 dijangka hadir pada perhimpunan tersebut.
Menjelaskan cadangan mengalihkan lokasi himpunan itu, Fuzi berkata kerana bilangan peserta yang besar, para penunjuk perasaan mungkin keluar dari kawasan padang hingga ke jalanan, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.
Beliau menambah pihaknya juga menerima empat laporan polis daripada penduduk terhadap perhimpunan yang akan diadakan itu.
“Tempat itu juga berhampiran lebuh raya dan hanya ada tiga pintu masuk ke kawasan itu,” katanya.
Beliau menambah kebimbangan ini sudah diterangkan kepada penganjur, dengan cadangan memindahkannya ke stadium.
“Terserah kepada mereka sekarang. Kami akan mengambil tindakan yang ada di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 jika mereka bertegas mengadakan acara di padang itu.”
Fuzi juga berkata mereka tidak menerima sebarang maklumat mengenai ancaman spesifik terhadap progam itu. – 11 Oktober, 2017.
Komen