Datang mesyuarat bukannya hantar surat, kata Saifuddin kepada Zuraida


Diyana Ibrahim

Bukan soal damai, datang mesyuarat untuk selesaikan isu, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 September, 2019.

SURAT damai dihantar Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin ditolak oleh Setiausaha Agung Saifuddin Nasution yang meminta pemimpin itu hadir mesyuarat untuk selesaikan isu berkaitan.

“Ini bukan soal damai atau tidak, datang saja mesyuarat selesaikan di sana,” katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas isu surat Zuraida yang tidak dilayan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menjelaskan sebab keenganan menteri itu hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti minggu lepas.

Menurut Zuraida, surat itu ditulis dengan tujuan “berdamai”, tetapi sehingga sekarang beliau tidak menerima balasan daripada Anwar.

Saifuddin bagaimanapun menafikan dakwaan itu, berkata PKR sudah membalas surat Zuraida yang dihantar melalui serahan tangan, 7 hari selepas surat itu diterima.

“Saya cuma nak sebut tentang surat, surat yang dikirim satu dan itu telah dijawab dan  dihantar pada serahan tangan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan semua pemimpin parti tentang kewajiban hadir mesyuarat parti.

Menurutnya, tidak ada alasan untuk semua pemegang jawatan dalam parti tidak hadir kerana jadual mesyuarat sudah dimaklumkan seawal Januari lalu.

“Semua pemegang jawatan, apa jua jawatan mereka (sama ada) presiden, naib ketua Pemuda, mereka pemegang jawatan dalam parti sama ada dipilih atau dilantik mengikut perlembahaan parti.

“Tugasan mereka dan jawatan mereka datang dengan tanggungawab.

“Dan bagi mudahkan semua pemimpin sekarang yang punya jawatan besar dan punya peranan berat dalam kerajaan, sebagai setiausaha agung kita serahkan jadual pada awal tahun supaya mereka kosongkan jadual.

“Yang kita perlukan skrg ialah disiplin menghormati dan jaga amanah itu lebih penting dari hantar satu surat,” katanya lagi. – 2 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen