POLIS Melaka tidak menghalang satu majlis agama dihadiri pendakwah Dr Zakir Naik pada 7 September ini kerana beliau tidak berucap, kata ketua polis negeri itu Raja Shahrom Raja Abdullah.
“Ini bukan ceramah, jadi kita tidak akan menghalang majlis itu. Jika ada ceramah, mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada pejabat Mufti neger,” kata Raja Shahrom kepada The Malaysian Insight.
Majlis Malam Islam Bersatu Bersama Dr Zakir Naik di Masjid Cina Krubong dianjurkan oleh Adun Paya Rumput Mohd Rafiq Naizamohideen dan iklan mengenainya terbesar menerusi media sosial dan WhatsApp.
Majlis itu diadakan walaupun polis mengenakan larangan terhadap Zakir daripada berdakwa menerusi mana-mana platform susulan siasatan pihak berkuasa terhadap kenyataan kontroversinya sebelum ini.
Pada bulan lepas, Zakir didakwa mengguris perasaan masyarakat India dan Cina di negara ini.
Raja Sharom berkata wakil Bersatu itu sudah mendapatkan permit polis untuk mengadakan acara itu.
“Adun Paya Rumput Mohd Rafiq menghubungi polis dan meminta kebenaran sama ada acara itu boleh diteruskan.
“Selagi tiada ucapan (Zakir) kita (polis) tidak akan menghalang mana-mana majlis agama,” katanya.
Bulan lalu, Menteri Besar Melaka Adly Zahari berkata Zakir dilarang daripada berceramah di negeri itu susulan kontroversinya di Kota Bharu.
Namun semalam Mohd Rafiq berkata Adly akur dengan keputusan polis. – 2 September, 2019.
Komen