Lagi individu dipanggil bantu siasatan gangguan sistem KLIA, klia2


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata setakat ini lapan individu telah disoal siasat bagi membantu siasatan kegagalan rangkaian KLIA dan klia2 dua minggu lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2019.

POLIS akan memanggil beberapa lagi kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi membantu siasatan kegagalan rangkaian operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2  dua minggu lepas.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah memberitahu The Malaysian Insight, beberapa kakitangan yang bertugas memantau sistem di KLIA.

“Setakat ini lapan individu telah disoal siasat. Empat daripada mereka dari unit IT manakala empat lagi dari unit sistem KLIA.

“Beberapa orang lagi daripada unit yang memantau sistem akan dipanggil, tetapi kita masih belum pasti berapa ramai yang akan dipanggil,” katanya.

Kegagalan sistem sejak 21 Ogos lalu berlarutan sehingga empat hari menyebabkan jadual perjalanan di KLIA dan klia2.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin dalam satu kenyataan berkata beliau tidak menolak gangguan disebabkan oleh perbuatan khianat sehingga menjejaskan operasi di KLIA dan klia2.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menggesa pihak berkuasa menyiasat punca sebenar gangguan tersebut.

Gangguan sistem di KLIA tidak seharusnya berlaku kerana sistem sama digunakan di lapangan terbang yang lain, katanya.

“Kita kena selidik kenapa (sistem KLIA) mengalami kerosakan, sepatutnya ia tidak berlaku kerana sistem sama digunakan di lapangan terbang yang lain dan mereka tidak mengalami masalah seperti kita,” katanya dalam sidang media bersama wartawan Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi ke Vietnam minggu lepas. – 2 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen