ANGGOTA Majlis Tertinggi Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen akan manganjurkan upacara keagamaan minggu depan yang akan menampilkan pendakwah kontroversi Zakir Naik yang dilarang memberi ucapan di negara ini.
Program yang menjadi tular itu menyatakan bahawa Zakir akan menghadiri upacara yang akan diadakan di Masjid Krubong Cina pada 7 September.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, Mohd Rafiq berkata bahawa beliau telah memaklumkan polis mengenai perkara itu dan polis telah memberi lampu hijau selagi Zakir tidak memberi ucapan di majlis yang dinamakan Malam Islam Bersatu.
“Zakir akan hadir, saya telah memaklumkan pada pihak polis dan mereka berkata selagi dia tidak berucap, tidak ada masalah untuk Zakir menghadiri upacara keagamaan.”
“Acara itu hanya mengenai solat dan zikir. Tidak akan ada ucapan (daripada Zakir),” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput itu.
Ditanya sama ada beliau menerima maklum balas positif dari Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, Mohd Rafiq berkata Adly telah bersetuju dengan syarat yang dinyatakan oleh polis.
“Saya telah maklumkan kepada ketua menteri dan menjelaskan mengenai upacara itu, katanya jika pihak polis membenarkannya dan tidak akan ada ucapan, dia baik-baik saja,” jelas bekas anggota Umno itu.
The Malaysian Insight turut menghubungi polis untuk penjelasan mengenai kejadian itu tetapi masih belum menerima maklum balas.
Dalam pada itu, acara yang bakal melibatkan Zakir tersebut telah menarik perhatian salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Eksekutif Melaka (Exco), Kerk Chee Yee.
Kerk dalam satu hantaran Facebook mengatakan kebenaran untuk Zakir hadir dalam acara berkenaan tidak selari dengan apa yang telah diputuskan Ketua Menteri Melaka sebelum ini yang tidak membenarkan pakar perbandingan agama itu berucap di negeri berkenaan.
“Walaupun tidak memberi ceramah, Zakir Naik merupakan individu yang menimbulkan kontroversi antara masyarakat Malaysia.
“Semua pihak daripada kerajaan negeri Melaka harus bertindak mengikuti semangat (act in spirit) keputusan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari yang mengharamkan Zakir Naik berceramah di Melaka,” katanya.
Bulan lalu, Adly dipetik sebagai berkata bahawa pendakwah kelahiran Mumbai itu tidak akan dibenarkan untuk mengadakan sebarang acara di negeri itu selepas beliau menyentuh isu-isu sensitif mengenai hubungan kaum di negara ini.
“Setiap perkara mesti ada batasnya, ia termasuk soal keamanan dan isu perkauman yang sudah pasti tidak dibenarkan.
“Walaupun kita tidak menghalang sebarang program berbentuk ilmiah atau wacana ilmu di Melaka, tapi apabila seseorang itu menyentuh aspek yang membabitkan ketenteraman dan perpaduan awam sehingga menggugat kesejahteraan kaum, kita tidak benarkan,” katanya pada satu majlis di Jasin.
Zakir dalam ucapannya di Kota Bharu Kelantan pada awal Ogos mendakwa bahawa kaum India di Malaysia lebih menyokong Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad. Beliau juga turut didakwa menggambarkan kaum Cina sebagai “tetamu” di negara ini, dan berkata mereka harus dihantar kembali ke China sebelum beliau diusir.
Lebih 500 laporan polis telah dibuat terhadapnya berhubung kenyataan itu, sementara beberapa menteri dari DAP dan PKR mendesak Dr Mahathir menghantar Zakir kembali ke India.
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin juga turut mengatakan Zakir tidak terkecuali daripada undang-undang dan tindakan akan diambil terhadapnya sementara menunggu siasatan polis. – 1 September, 2019.
Komen