BEBERAPA bulan selepas menjadi perdana menteri, Najib Razak memperoleh kawalan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas meminda perlembagaan syarikat Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), mahkamah tinggi diberitahu pada minggu pertama perbicaraan 1MDB.
Penolong Pendaftar Syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (CCM), Rafidah Yahaya, saksi ketujuh pendakwa, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur perlembagaan TIA dipinda pada 2 September 2009, lima bulan selepas Najib mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 3 April 2009.
Klausa tersebut ditambah di bawah Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Persatuan SRC International, iaitu semua perkara termasuk jaminan kewangan dan hala tuju dasar perlu mendapat kelulusan perdana menteri.
Dua hari kemudian, pada 4 September, Najib menandatangani dokumen yang memindahkan pemilikan TIA kepada Menteri Kewangan Diperbadankan. Satu lagi dokumen pertukaran nama daripada TIA kepada 1Malaysia Development Bhd diserahkan kepada SSM pada 25 September 2009, kata Rafidah.
Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa pembantu Najib dilantik memegang jawatan penting di Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd sejurus selepas 1MDB memperolehi firma tenaga daripada T Ananda Krishnan pada Mac 2012 dengan harga RM8.5 bilion.
Pegawai khas Najib ketika itu, Wan Ahmad Shihab Wan Ismail dilantik menjadi ahli lembaga syarikat pada 22 Mei 2012.
Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas pengarah kewangan 1MDB, Terence Geh juga dilantik pada hari yang sama. Geh masih hilang selepas didakwa secara absentia pada Disember lepas kerana jenayah pecah amanah berkaitan aset 1MDB bernilai AS$125 juta (RM500 juta).
Wan Ahmad Shihab adalah antara empat pemegang amanah Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) yang termasuk Najib, bekas pengerusi 1MDB Lodin Wok Kamaruddin dan Azlin Alias, ketua setiausaha peribadi Najib.
Najib menggunakan orang tengah untuk mengelak respons negatif, kata saksi
Bagi mengelakkan sebarang spekulasi dalam talian, Najib mengeluarkan cek pada 2013 melalui orang tengah bagi membantu membiayai dua syarikat untuk meraih sokongan kepada kerajaan BN, seorang lagi lain memberitahu mahkamah.
Bekas setiausaha politik Wong Nai Chee memberi keterangan yang Najib meminta beliau menyediakan cek pada Ogos 2013 kepada ahli perniagaan Lim Soon Peng agar boleh menyalurkan RM246,000 kepada dua syarikat yang berfungsi untuk mendapatkan sokongan bagi kerajaan BN. – 1 September, 2019.
Berita penuh di sini
Komen