SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan untuk menunaikan janji pilihan raya bagi mengambil cadangan badan hak asasi manusia dengan serius demi kepentingan ketelusan dalam pentadbirannya.
Pengerusinya Othman Hashim memberitahu The Malaysian Insight bahawa PH dalam manifesto pilihan rayanya berjanji untuk membahaskan laporkan tahunan Suhakam di Parlimen supaya cadangan mereka mendapat perhatian sewajarnya.
“Kami berharap kerajaan akan menunaikannya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata Suhakam mengakui cabaran dihadapi kerajaan dalam melaksanakan komitmen yang dibuat tetapi janji manifesto itu harus dipatuhi.
“Bukan nak kata tak ada cabaran. Kami masih menunggu perkembangan pembaharuan dan pindaan Akta Suhakam seperti manifesto PH.
“Kami telah serahkan kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi dan agensi kerajaan berkaitan,” katanya.
Othman berkata, sangat penting untuk Suhakam tetap bebas dan adil sebagai badan berkanun di Malaysia.
“Bukan hanya untuk akreditasi kami sebagai badan Hak Asasi Manusia Antarabangsa tetapi juga untuk perlindungan hak asasi manusia di Malaysia.
“Jadi kami akan terus mengawasi dan menyokong undang-undang ini,” katanya.
Beliau berkata Suhakam tetap teguh melaksanakan peranannya dalam menyokong dan menangani isu hak asasi manusia di Malaysia.
“Kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan lain untuk mengejar hak asasi manusia sebagai keperluan dalam pembangunan sosial, politik dan ekonomi Malaysia,” katanya.
Beliau menambah Suhakam akan terus berfungsi sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan tidak kira siapa yang berkuasa.
“Kami adalah badan berkanun yang bebas dengan mandat untuk melindungi dan menyokong hak asasi manusia untuk semua.
“Bagaimanapun ia juga menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melibatkan diri dengan Suhakam mengenai isu-isu hak asasi manusia,” katanya. – 4 September, 2019.
Komen