Serah jawatan kepada Anwar, saya akan tunai janji saya, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulangi janjinya untuk meletak jawatan sebelum penggal 2023 bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 30 Ogos, 2019.

DR Mahathir Mohamad hari ini mengulangi janjinya untuk meletak jawatan sebelum penggal 2023 bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

“Saya telah berjanji dan saya akan hormatinya. Dulu bila saya kata saya akan letak jawatan, pembangkang kata tak ada cara saya akan letak jawatan tetapi saya lakukannya,” kata perdana menteri selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan hari ini.  

Isu ini timbul selepas Anwar berkata bahawa beliau tidak akan menyertai Kabinet.  

“Saya terikat dengan perjanjian (PH). Saya tidak pernah mahu menyertai Kabinet.  

“Ini kerana persetujuan di Pakatan Harapan adalah Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri sehingga giliran saya tiba,” katanya selepas program di Kuala Lumpur hari ini. 

Semalam Dr Mahathir berkata, tidak ada kekosongan untuk Anwar dalam Kabinet pada masa ini kerana tidak ada menteri yang mahu meletak jawatan.

“Oleh kerana tiada siapa membayangkan mahu meletakkan jawatan (menteri), kita tidak ada kekosongan.

“Apabila ada kekosongan, kita akan cari calon yang sesuai,” katanya Pengerusi Bersatu.

Begitu juga isteri Anwar yang juga Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tiada kekosongan untuk suaminya dalam kabinet melainkan Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri.

“Saya kira (akan berlaku kekosongan dalam Kabinet) kalau PM (Perdana Menteri) kosongkan (jawatan), itulah (seperti) yang dijanjikan,” katanya.

Dr Mahathir sentiasa menegaskan bahawa beliau akan menunaikan janji PH untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar.

Bagaimanapun tiada garis masa ditentukan untuk penyerahan jawatan tersebut menyebabkan banyak kekeliruan berlaku. – 30 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen