PKR mahu Ibrahim Ali dihalang masuki Sabah


Jason Santos

Presiden Perkasa Ibrahim Ali pada Ahad meminta kaum minoriti di Sabah menghentikan tuntutan yang bertentangan dengan perlembagaan dan dasar negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2017.

SABAH perlu mencontohi Sarawak yang menghalang individu seperti Ibrahim Ali daripada memasuki negeri itu, kata Pengerusi PKR Sabah Christina Liew. 

Mengulas kenyataan kumpulan pendesak Melayu itu pada Ahad berhubung kaum minoriti termasuk Cina di Sabah, Liew berkata Perkasa boleh mengancam keamanan dan keharmonian yang sedai wujud di Sabah, yang dinikmati rakyat sejak merdeka. 

“Dia ingat dia siapa untuk cuba menindas komuniti Cina di Sabah, dengan melagakan mereka dengan orang asal Sabah? Apa motif beliau sebenarnya, atau beliau hanya bercakap tanpa berfikir kerana perlu bersuara untuk menarik perhatian?”

Ibrahim meminta kaum minoriti di Sabah agar menghentikan tuntutan terhadap dasar yang bertentangan dengan perlembagaan dan secara spesifiknya menyebut tentang pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dikeluarkan oleh sekolah menengah vernakular Cina swasta kepada lepasan sekolah. 

“Bagaimana beliau boleh suarakan pandangan yang mengarut berhubung tuntutan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) yang menafikan hak orang asal Sabah, atau memijak kepala mereka? Apa masalah beliau?” soalnya. 

Ibrahim juga berkata kaum minoriti sepatutnya berterima kasih kepada kaum pribumi kerana mengiktiraf dan menerima mereka sebagai rakyat Malaysia.

Liew berkata kenyataan Ibrahim Ali menunjukkan beliau mempunyai pengetahuan cetek mengenai kepentingan UEC kepada Malaysia dan ia diterima oleh universiti berprestij seperti Harvard, Yale, MIT, Oxford dan Cambridge. 

“Ketika pentadbiran bekas ketua menteri Sarawak, Adenan Satem, beliau turut mengiktiraf UEC dan membenarkan pelajar yang lulus peperiksaan itu menggunakannya untuk memasuki universiti, dan juga menjawat jawatan dalam sektor awam,” katanya. – 10 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen