PAKATAN Harapan tetap akan menang sekiranya pilihan raya diadakan hari ini, kata Dr Mahathir Mohamad.
“Walaupun orang kata kita akan kalah jika hari ini ada pilihan raya, kita yakin kita akan menang lagi. Tiada siapa mahu Najib memimpin semula sebab dia dah banyak ambil duit,” kata perdana menteri selepas mempengerusikan mesyuarat di Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, walaupun pengkritik meramalkan kekalahan PH kerana sentimen negatif, beliau merasakan kerajaan tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Kami sudah membincangkannya dan mendapati kami tak apa-apa kesalahan walaupun komunikasi kami lemah. Kami juga mendapati apabila bercakap dengan media tentang kejayaan PH, media akan bertanya soalan kontroversi.
“Kami mendapati ada pihak menimbulkan masalah perkauman dan agama, masalah ini dapat diselesaikan oleh Kabinet. Tetapi kerana terdapat terlalu banyak laporan yang menyebabkan kemarahan, isu kecil telah menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya pada malam Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-62.
Dr Mahathir berkata, Malaysia merupakan negara yang aman dan rakyat Malaysia harus bersyukur.
“Parti-parti ekstrem ini harus bersyukur kerana Malaysia negara yang aman. Walaupun terdapat masalah kaum dan agama, ia tidak serius berbanding negara berbilang kaum lain.
“Negara-negara ini bergaduh dalam kalangan mereka kerana ekstremis.
“Jika kita dan media membenarkan diri kita dipengaruhi oleh ekstremis dengan menimbulkan ketegangan kaum, kita akan jadi seperti rakyat di Timur Tengah. Jika kita main isu kaum dan agama, kita akan berperang satu sama lain seperti mereka,” katanya.
Untuk langkah sementara, pengerusi PH itu berkata kerajaan akan mengadakan lebih banyak perbincangan dengan media supaya rakyat dapat memahami isu dalam konteks yang betul.
“Kami memutuskan untuk berkomunikasi dengan lebih ramai media supaya rakyat Malaysia memahami kita adalah negara yang aman walaupun mempunyai kepelbagaian kaum,” katanya. – 30 Ogos, 2019.
Komen