AIR Asia akan menawarkan tambang harga istimewa sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan susulan keputusan Jemaah Menteri menurunkan caj perkhidmatan penumpang (PSC) dari RM73 ke RM50 mulai 1 Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Tony Fernandes berkata tawaran itu dipanggil “Anthony Loke’s Special” sebagai penghormatan kepada Menteri Pengangkutan.
“Ia merupakan hari besar untuk AirAsia. Jadi menjelang Oktober, cukai baharu lapangan terbang akan dilaksanakan. Kami akan membuat jualan istimewa dengan mengurangkan kadar tambang penerbangan.
“Kami namakan (tawaran ini) sebagai ‘Anthony Loke’s Special’,” katanya berseloroh sewaktu berucap pada majlis menandatangani perjanjian pesawat di antara Kumpulan AirAsia dengan Airbus di Hotel St. Regis, hari ini.
Anthony dalam satu kenyataan hari ini berkata, kadar PSC itu dikenakan ke atas semua penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia) dan lapangan terbang lain di seluruh negara.
Menurutnya, Kabinet dalam mesyuarat semalam bersetuju mengekalkan kadar RM73 bagi penumpang yang berlepas dari KLIA dan kadar PSC bagi penumpang sektor Asean dan domestik bagi semua lapangan terbang di Malaysia dikekalkan pada kadar RM35 dan RM11 masing-masing.
Sementara itu, Tony ketika diminta mengulas mengenai gangguan sistem pengoperasian di terminal utama di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan KLIA2 baru-baru ini berkata, pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Beliau menyifatkan kesulitan yang dihadapi oleh MAHB adalah lumrah dalam perniagaan dan pihaknya tidak akan mengambil kesempatan terhadap masalah tersebut.
“Kita tidak akan ambil tindakan spesifik atas gangguan yang berlaku minggu lalu. Kita tidak mahu ambil kesempatan. Setiap syarikat ada masalah, kami juga ada masalah,” katanya dalam sidang media selepas majlis tersebut.
Tambah Tony, AirAsia sebelum ini telahpun memfailkan saman bernilai RM400 juta terhadap MAHB disebabkan oleh gangguan operasi di KLIA 2.
Gangguan itu termasuk saluran paip minyak bocor yang menghalang operasi di Pier P selama lebih sebulan di klia2 dari 11 Oktober hingga 22 November 2016 dan penutupan di Landasan 3 beberapa kali pada tahun lepas.
Tindakan saman itu diambil sebagai reaksi balas kepada saman yang difailkan MAHB terhadap AirAsia Bhd dan AirAsia X, masing-masing sebanyak RM9.40 juta dan RM26.72 juta atas dakwaan tunggakan PSC.
PSC yang dibayar oleh penumpang dikutip oleh syarikat penerbangan semasa pembelian tiket. Ia kemudiannya diserahkan kepada MAHB selepas selesai penerbangan. – 30 Ogos, 2019.
Komen