Kontroversi pusat konvensyen Taman Melawati, penduduk buat laporan SPRM


Yasmin Ramlan

Pengerusi Persatuan Penduduk Zon ABC, Taman Melawati, Razman Hakimi Abdullah berkata, laporan itu dibuat kerana ketidakpuasan hati penduduk kepada kerajaan negeri yang membina pusat konvensyen di atas tanah yang sepatutnya dijanjikan pusat kemudahan infrastruktur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 Oktober, 2017.

KONTROVERSI melanda projek pembinaan sebuah pusat konvensyen di Taman Melawati, Kuala Lumpur semakin hangat apabila satu laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh penduduk kawasan perumahan tersebut terhadap kerajaan negeri Selangor, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Sime Darby Sdn Bhd.

Sime Darby Sdn Bhd merupakan pemaju yang bertanggungjawab membina pusat konvensyen tersebut.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Zon ABC, Taman Melawati, Razman Hakimi Abdullah, laporan itu dibuat susulan ketidakpuasan hati penduduk di situ yang menyuarakan bantahan mereka terhadap kerajaan negeri yang membina pusat konvensyen di atas tanah yang sepatutnya dijanjikan pusat kemudahan infrastruktur bagi kegunaan penduduk.

“Kami ingin SPRM menyiasat status penukaran tanah PT14843,” katanya.

Razman berkata, penduduk hanya mengetahui mengenai cadangan pembinaan pusat konvensyen berkeluasan 3.37 ekar itu hanya pada Mei lalu.

“Saya harap ada penyelesaian antara MPAJ dan penduduk. Dan saya berharap sepenuhnya terhadap SPRM (siasat).

“Jika tiada salah guna kuasa, kami akan berhenti (bantahan),” katanya.

Razman berkata demikian kepada pemberita di hadapan ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan respons dari SPRM mengenai aduannya itu.

Katanya lagi, apa yang lebih memburukkan keadaan apabila, segala aduan penduduk di kawasan berkenaan yang diajukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak dihiraukan.

Menurut laporan akhbar The Star akhir bulan lalu, presiden MPAJ Abdul Hamid Abdul Hussain berkata, pembinaan pusat konvensyen tersebut dianggarkan memakan kos sebanyak sekitar RM25 juta.

Pelaksanaan projek tersebut dijadualkan bermula pada Disember 2017 atau Januari 2018 dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun. – 10 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen