Kassim Ahmad: mengenang lelaki cili padi, rajin tulis baca dan penyayang


Looi Sue-Chern

Balu Allahyarham Kassim Ahmad, Shariffah Fawziah Syed Yussoff Alsagoff berkata walaupun suaminya itu dianggap orang terkenal di Malaysia, dia hanya melihatnya sebagai datuk yang penyayang kepada 11 cucu dan suami yang menulis tentang isteri dalam buku dan sajak-sajaknya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 10 Oktober, 2017.

KASSIM Ahmad, cendekiawan ulung Melayu dan penulis terkemuka sentiasa berani kerana kebenaran memihak kepadanya, kata balu allahyarham.

Shariffah Fawziah Syed Yussoff Alsagoff, 79, berkata suaminya digelar komunis dan pelbagai lagi gelaran kerana pihak lain takutkan pandangannya yang berlawanan dengan pendapat arus perdana. 

“Tetapi dia sentiasa berani berdepan pengkritiknya kerana kebenaran berada di pihaknya.

“Dia tahu apa yang dia buat sebab dia membaca, belajar dan buat kajian,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kassim, 84, meninggal dunia pada jam 10 pagi hari ini di Hospital Kulim, Kedah yang terletak berhampiran rumahnya di Kulim Golf and Country Resort selepas jatuh koma semalam.

Dia dimasukkan ke hospital pada 16 September yang kebetulan adalah Hari Malaysia selepas mengalami kesukaran bernafas.

“Suami saya wajahnya indah, tenang ketika meninggal.

“Dia lelaki yang baik, berterus terang. Kami sudah berkahwin selama 57 tahun,” kata Shariffah Fawziah ketika ditemui di rumahnya.

Shariffah Fawziah mengenang bagaimana Kassim mengharungi kehidupan berdepan dengan cabarang termasuklah lima tahun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri daripada 1976 hingga 1981.

Kassim merupakan presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia ketika itu. Parti itu dituduh mengandungi unsur sosialis dan komunis.

“Dia dibebaskan selepas Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri. Dia dibebaskan tanpa syarat. Mereka kawan baik,” katanya.

Shariffah Fawziah berkata ramai orang memberitahunya yang Kassim adalah orang terkenal, tetapi baginya Kassim hanyalah seorang datuk yang menyayangi 11 cucunya dan seorang suami yang menulis tentang isterinya di dalam buku dan sajak.

“Dia sebut saya dalam buku, memuji saya sebagai isteri paling bekerja keras. Saya pernah taip manuskripnya,” katanya.

Anak saudara Kassim, Rosni Hashim, 61, berkata Shariffah Fawziah, wanita perkasa yang sentiasa menyokong suaminya dalam susah dan senang sebelum ini, menghadapi pemergian suaminya dengan baik.

“Dia menangis awalnya, kata dia dah tak boleh bergaduh dengannya (Kassim) lagi,” kata Rosni.

Rosni berkata bapa saudaranya itu mengharungi masa sukar hanya kerana pandangan dan pendapatnya yang berbeza tidak dipersetujui banyak pihak.

Katanya, Kasim yang menulis dan membaca banyak perkara tentang Islam juga menjunjung tinggi mereka yang mengutamakan perpaduan.

“Dia meletakkan harapan tinggi kepada mereka yang berjuang untuk kesejahteraan antara agama,” katanya.

Anak Kassim, Ahmad Shauqi Kassim berkata bapanya terus bekerja dari pejabat dan perpustakaan di rumahnya, sehinggalah dia jatuh sakit dan terpaksa masuk hospital.

“Tanpa gagal, dia bekerja dari jam 2 hingga 6 pagi setiap hari ketika semua orang tidur. Dia masih menulis sampailah dia terpaksa ke hospital,” katanya.

Bagi keluarga dan sahabat taulan, Kassim Ahmad akan sentiasa dikenang sebagai lelaki yang berani, yang rajin menulis dan membaca, berprinsip dan tidak gentar melawan perbezaan pendapat umum. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2017.

Sedang terjemah Al Quran ke Bahasa Melayu

Cucu sulung Kassim, Shazreena Adnan, 31, berkata datuknya berjaya menghabiskan penulisan autobiografinya selepas Hari Raya beberapa bulan lalu.

“Saya nampak draf yang dia siapkan. Dia dah habis tulis tetapi tak sempat tengok ia diterbitkan.

“Dia sedang terjemah Al Quran ke dalam Bahasa Melayu ketika jatuh sakit,” katanya. Terjemahan itu dipercayai sudah siap satu pertiga.

Apabila Kassim tidak menulis atau menyunting tulisannya, dia gemar mendengar musik di ruang tamu atau di beranda rumah, kata Shazreena lagi.

“Baru-baru ni dia ada mintak saya belikan Beethoven dan Schubert. Saya tak sempat dapatkan untuknya,” katanya penuh kesal.

Rakan sekelas Kassim ketika zaman sekolahnya di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Ibrahim Isa, 85 pula kesal tidak sempat melawat Kassim di hospital.

“Dia ada telefon saya dari hospital dan ajak saya datang melawatnya. Tetapi saya tinggal di Pulau Pinang dan tak ada pemandu ketika itu.

“Mata saya teruk sebab katarak jadi saya tak boleh memandu sendiri. Kali terakhir saya jumpa dia lebih kurang enam bulan lepas,” katanya ketika melawat balu Kassim dan keluarganya hari ini.

Pada masa lalu, Ibrahim akan melawat Kassim dan mereka akan pergi ke kelab kawasan perumahan itu untuk makan tengahari dan berborak.

“Saya selalu buat dia ketawa bila kami berjumpa.

“Dia beritahu saya tentang masalahnya dengan pihak berkuasa agama. Katanya mereka cuba buat dia bersalah, putar belit pandangannya.

“Tetapi dia tak akan mengalah. Dia kecil orangnya tetapi berjiwa besar. Dia berani. Dia cili padi,” katanya.

Ibrahim mengatakan Kassim sejak sekolah lagi merupakan seorang yang bijak pandai.

“Dia pelajar yang serius. Tegas bila belajar. Dulu pun, dia adalah orang yang berprinsip.”

Kassim meninggalkan seorang balu, anak lelaki dan dua anak perempuan. Beliau akan dikebumikan di perkuburan Masjid Kilang Lama malam ini selepas solat Isyak. – 10 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen