PENGUMUMAN polis untuk mencari “saksi penting” bagi membantu siasatan ke atas kehilangan Amri Che Mat “agak terlambat”, kata keluarga dan peguam kepada aktivis yang hilang sejak hampir tiga tahun itu.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, jika polis “jujur” dalam menjalankan tugas mereka dan dalam keterangan mereka ketika siasatan awam Suhakam ke atas kehilangan Amri dan Pastro Raymond Koh tahun lalu.
Bagaimanapun, mereka memuji Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang mengambil kes ini secara serius.
Semalam, polis mengedarkan gambar Saiful Bahari - yang merupakan bekas pekerja awam yang ada kaitan dengan Cawangan Khas - yang mana keretanya dilaporkan dilihat di luar rumah Amri sebelum aktivis itu diculik.
Peguam keluarga Jerald Gomez memberitahu The Malaysian Insight, polis boleh mengesan Saiful dengan mudah sekiranya mereka jujur dalam menjalankan tugas sebelum ini.
“Ketika inkuiri, pegawai penyiasat (IO) tidak memberitahu kami tentang kereta Toyota Vios yang dilihat di luar rumah Amri (di Perlis) dan kemudian di Pulapol (Pusat Latihan Polis Jalan Semarak, Kuala Lumpur).
“Kami diberitahu mengenainya oleh pegawai lain, bukan IO. Kami panggil semula IO itu dan barulah beliau maklumkan mengenai kereta dan pemiliknya Saiful Bahari.
“Pada masa itu, Saiful sudah meletak semua jawatan dalam pasukan dan beliau tidak dapat dikesan untuk memberi bukti pada inkuiri.
“Jika polis jujur ketika itu, kita pasti dapat sesuatu hari ini. Namun begitu, kita gembira polis akhirnya melihat perkara ini,” kata Gomez.
Apabila Saiful gagal untuk beri keterangan dalam inkuiri, ia menyebabkan Suhakam menuduh polis tidak beri kerjasama. Suhakam berkata demikian kerana Saiful bekerja dengan polis, mereka sepatutnya tiada masalah untuk mengesannya.
Gomez mendedahkan menerusi siasatan mereka sendiri, mereka mendapati Saiful pernah perbaharui insurans kereta baru-baru ini, yang bermakna saksi utama itu masih berada dalam negara.
“Kami buat pemeriksaan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dan mendapati dia memperbaharui cukai jalan dan insurans. Dia masih ada dalam negara,” tambahnya.
Sementara itu, isteri Amri, Norhayati Ariffin berkata, walaupun terlambat untuk mengesan Saiful, usaha pihak polis itu wajar dipuji.
“Ya, ia dah terlambat, tetapi sekurang-kurangnya ada perkembangan dalam kes ini. Saya bersyukur,” katanya.
Hasil siasatan awam Suhakam selama 18 bulan mendedahkan Amri dan Koh adalah mangsa kehilangan paksa, dan menyatakan ia melibatkan Cawangan Khas Bukit Aman.
Isteri Amri berkata, lima kenderaan menyekat keretanya sebelum dia dilarikan dalam insiden yang berlaku kira-kira 500 meter dari rumahnya di Bukit Chabang, Perlis pada 24 November, 2016.
Sementara itu, Koh dilarikan sekumpulan lelaki pada 13 Februari, 2017 di Petaling Jaya ketika dalam perjalanan ke rumah kawannya.
Insiden yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sekurang-kurangnya 15 lelaki menaiki SUV hitam melakukan penculikan itu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid
memberitahu The Malaysian Insight polis mencari Saiful di beberapa lokasi namun tidak diitemui.
“Kami mencari beliau, kami ke alamat terakhir kediamannya dan cuba hubunginya namun tidak pernah balas. Kami harap masyarakat dapat bantu kami kesan lelaki ini,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Saiful diminta menghubungi Inspektor Wan Ahmad Zakiman Wan Ismail di talian 013-7117025. – 30 Ogos, 2019.
Komen