PAKATAN Harapan (PH) akan meneruskan rancangan himpunan mega yang dirancang berlaku Sabtu ini di Petaling Jaya, menjangkakan 100,000 orang akan hadir walaupun ada dua acara besar turut berlaku pada hari yang sama.
Perarakan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” itu adalah kemuncak kepada jelajah PH untuk menerangkan kepada rakyat tentang skandal syarikat sarat hutang negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penglibatan Perdana Menteri Najib Razak di dalamnya akan diadakan pada hari yang sama dengan sambutan Hari Sukan Negara dan perlawanan Manchester United dan Liverpool.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata walaupun tempat perhimpunan itu berlaku, Padang Timur hanya boleh memuatkan sekitar 30,000 hingga 40,000 pada satu-satu ketika, PH menjangkakan ramai yang akan datang sehingga memenuhi jalan sekitar tempat itu.
“Kami tetap dengan sasaran 100,000 orang akan menghadiri perhimpunan itu.
“Kami juga yakin yang ramai orang dari negeri lain akan datang dan memenuhi padang tempat himpunan itu diadakan.
“Kami juga mahu orang muda menyertai kami selepas perlawanan bola sepak itu kerana perhimpunan itu bermula pada jam 4 petang hingga 12 tengah malam,” katanya pada sebuah sidang media di pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.
Perlawanan antara Liverpool dan Manchester United dijadualkan bermula pada jam 7.30 petang waktu Malaysia dan ucapan di perhimpunan itu dijangka bermula sekitar jam 9 malam. Perhimpunan itu akan dimulakan dengan aktiviti pesta pada tengahari.
Sejak Julai lalu, PH mengadakan jelajah seluruh negara dan mengunjungi kawasan pendalaman di seluruh Malaysia bagi menjelaskan dakwaan korupsi melibatkan Najib dan 1MDB.
Sabu berkata perhimpunan itu adalah perhimpunan aman dan PH sudah memaklumkan kepada polis sepuluh hari sebelum acara itu berlangsung.
Polis juga tidak memberikan notis untuk mengubah tempat perhimpunan ke stadium Kelana Jaya.
“Majlis Bandaraya Petaling Jaya sudah meluluskan acara itu,” katanya.
Setiausaha DAPSY, Howard Lee berkata yang mereka sudah mengatakan dua kali pertemuan dengan polis berkaitan himpunan itu.
“Pada 26 September, sekretariat perhimpunan sudah menyerahkan notis kepada polis.
“Setakat ini perbincangan dengan polis berjalan lancar. Kami yakin yang kami mematuhi peraturan akta perhimpunan aman selaras dengan tuntutan undang-undang,” katanya.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata mereka sudah menyediakan 700 sukarelawan untuk memantau keselamatan himpunan itu.
“Tumpuan utama kami adalah untuk mempunyai persekitaran seperti pesta. Akan ada juga pertunjukan dan ceramah korupsi mengenai 1MDB.
“Akan ada juga pameran di seluruh padang mengenai 1MDB dan Jabatan Kehakiman Negara AS,” katanya.
Sabu juga mengatakan Ketua Baju Merah, Jamal Md Yunos dialu-alukan untuk menjual ikannya ketika himpunan berlangsung.
“Dia boleh datang dan jual apa dia nak. Tak akan ada provokasi. Kita ada polis,” katanya.
Jamal dijangka menganjurkan pasar ikan segar di tempat sama himpunan itu diadakan Sabtu ini yang diumumkannya menerusi pesanan aplikasi WhatsApp kepada media.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu sudah dua kali mengadakan pasar menjual ikan murah di Sekinchan dan Ampang bagi menyokong dakwaannya yang DAP dan orang tengah Cina bersalah kerana kenaikan harga ikan. – 10 Oktober, 2017.
Komen