DR Mahathir Mohamad menegaskan Pakatan Harapan (PH) tidak tersasar daripada politik sederhana.
Pengerusi Bersatu itu berkata persepsi bahawa gabungan itu menjadi semakin konservatif adalah pandangan orang luar dan pihak yang mahu memecahbelahkan parti komponen dalam PH.
“Pakatan Harapan tidak terkeluar dari landasan. Itu persepsi orang-orang di luar,” kata Dr Mahathir selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Yayasan Perdana, hari ini.
“Ada cubaan untuk memecahbelahkan kami menggunakan isu-isu tertentu. Ada ahli bukan dalam Kabinet yang tidak puas hati dengan kerajaan sekarang dan mereka fikirkan perubahan.
“Ini tidak betul kerana boleh sebabkan gabungan berpecah,” tambah beliau.
Awal minggu ini, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong memaklumkan melalui Twitter, beliau dan penasihat DAP Lim Kit Siang mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim pada Isnin.
Liew berkata, mereka membincangkan mengenai naratif Malaysia Baru kerana PH dikepung dari kumpulan masyarakat atas kepentingan etniknya.
“(Perbincangan ini) berada dalam rangka membawa semua pihak kembali ke politik sederhana, (untuk) menjaga dari segala bentuk perbincangan melampau,” tambahnya. – 29 Ogos, 2019
Komen