Bersatu akan ambil tindakan pemimpin kata Pakatan akan kalah


Sheridan Mahavera

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan menjejaskan imej parti akan disiasat lembaga disiplin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Ogos, 2019.

BERSATU sedang menimbang untuk memgambil tindakan terhadap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, Dr Rais Hussin yang semalam berkata Pakatan Harapan (PH) akan kalah jika pilihan raya mengejut diadakan sekarang.

Pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad berkata mana-mana ahli Bersatu yang mengeluarkan kenyataan menjejaskan imej parti akan disiasat lembaga disiplin parti.

“Ahli, terutamanya yang pegang jawatan dalam parti, kena hati-hati apabila buat kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Yayasan Perdana, hari ini.

“Tindakan akan diambil jika kenyataan menjejaskan imej parti. Mereka boleh beritahu analisis mereka, tetapi kenyataan seperti Pakatan akan kalah dalam pilihan raya akan datang, itu merosakkan imej parti.”

Ketika ditanya pemberita sama ada beliau merujuk kepada Rais yang mengeluarkan kenyataan sedemikian, Dr Mahathir berkata,“Mungkin”.

Rais semalam memberi amaran PH akan kalah jika pilihan raya umum diadakan sekarang.

“Kita perlu mula dengar (suara) rakyat. Sekarang kita buat apa yang pernah BN buat. Kita sedang gagal,” katanya pada sesi panel bertajuk “By-elections predict outcome of GE-15”, semalam.

Bekas pengarah strategi Bersatu itu turut memberi amaran jika pilihan raya mengejut diadakan sekarang, pakatan Umno-PAS bakal menang mudah.

“Dengan sentimen semasa, jika kita ada pilihan raya esok. Pakatan baharu Umno-PAS akan menang mudah,” katanya. – 29 Ogos, 2019.   

Berita penuh di sini.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen