BERSATU dan Amanah masih tidak mampu menggantikan Umno dan PAS dalam memenangi isu hak Melayu, kata Prof Dr Awang Azman Awang Pawi.
Pensyarah dari Universiti Malaya itu berkata, kedua-dua parti dalam Pakatan Harapan itu juga dilihat sukar untuk mengubah naratif parti Melayu bahawa agama dan kaum di negara ini kini terancam.
Awang Azman berkata, Bersatu dan Amanah perlu menyelesaikan isu utama ini sebelum pilihan raya umum akan datang.
“Sekarang atau mungkin sebelum pilihan raya umum, Bersatu harus menggantikan Umno dan Amanah yang seharusnya menguburkan PAS tetapi nampaknya mereka masih belum dapat melakukan itu. Hasil akan dilihat dalam pilihan raya umum. Bersatu mampu memenangi 13 daripada 57 kerusi, Amanah mendapat 11 daripada 37 kerusi,” katanya pada sebuah forum di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Awang Azman menambah, kedua-dua parti itu perlu bekerja keras untuk membetulkan naratif Melayu dan Islam yang kini digunakan secara meluas oleh Umno dan PAS kepada masyarakat Melayu.
“Kami telah mendengar banyak isu berkaitan dengan Islam dan orang Melayu. Islam kini terancam dan orang Melayu ditipu. Persepsi ini jika tidak diperbetulkan akan menjadi masalah kepada kerajaan, dan mereka harus mencari jalan untuk menentang naratif itu.
“Barangkali mereka harus memperkasakan umat Islam, melihat secara mendalam bagaimana untuk meningkatkan pendapatan golongan miskin seperti pekebun kecil Felda dan nelayan,” jelasnya.
Awang Azman turut membidas Pakatan Harapan kerana menerima wakil rakyat Umno dan mengatakan kerjaan sepatutnya mendekati rakyat dan bukan ahli politik.
“Ahli politik datang dan pergi, mereka tidak akan bertahan. Jika mereka menang kali ini, lain kali mungkin kalah. Menerima mereka hanyalah pelan jangka pendek.”
“Kerajaan perlu mendekati rakyat, dapatkan sokongan daripada akar umbi dan penduduk tempatan di kawasan mereka. Dekati ketua kampung, imam dan pihak berkepentingan lain. Mereka mampu menarik sokongan daripada rakyat biasa,” katanya.
Ditanya sama ada Umno sedang merubah kepimpinannya, Awang Azman berkata parti hak Melayu itu tidak memberikan impak yang besar dengan menggantikan pemimpin lama mereka.
“Mereka cuba membuat perubahan namun tidak sekuat itu. Hanya perubahan kecil dibuat setakat ini. Pimpinan atasan masih lagi sama walaupun berdepan pertuduhan mahkamah,” katanya.
Sementara itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kabinet di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad mahu berkongsikan kekayaan negara berbanding memperkasakan satu kaum dan agama.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kerjasama rasmi antara PAS dan Umno yang akan dimeterai bulan depan.
“Itu adalah langkah politik mereka dan sekiranya mereka merasakan ianya baik, terpulang kepada mereka tetapi kita tinggal di negara berbilang kaum.”
“Pakatan Harapan mahu kongsikan kemakmuran dengan setiap rakyat. Ini adala rancangan perdana menteri kita,” katanya selepas menghadiri forum berkenaan. – 29 Ogos, 2019.
Komen