ISU berkaitan kaum perlu dibincangkan secara bertanggungjawab, kata Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan.
Bercakap pada satu forum hari ini, Wan Saiful berkata hubungan etnik menjadi kebimbangan berikutan isu perkauman dipolitikkan.
“Terdapat satu perkara yang saya bimbang iaitu mengenai hubungan etnik,” katanya.
Tambahnya, isu melibatkan kaum tidak dibincangkan dalam keadaan tenang, rasional dan dengan cara yang baik.
“Ramai yang membincangkan perkara ini tetapi ia tidak dilakukan dalam keadaan tenang, rasional dan dengan cara yang baik,” katanya.
Beliau berkata terdapat ahli-ahli politik di luar sana yang tidak ragu-ragu memecahbelahkan negara dengan mempolitikkan perkara sedemikian untuk mengekalkan atau mendapatkan kuasa.
“Terdapat perkara yang dikatakan oleh ahli politik mampu menyatukan atau memecahbelahkan negara,” katanya yang juga pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Menurutnya, terdapat keperluan untuk politik yang lebih bertanggungjawab dan mengingatkan perjuangan Pakatan Harapan di bawah panji perpaduan.
Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Nicole Wong, yang berkongsi pentas dengan Wan Saiful berkata, politik perkauman sudah ketinggalan zaman.
Beliau berharap dengan had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun, perbincangan antara golongan belia mengenai dasar diadakan tanpa melibatkan kaum dan agama. – 29 Ogos, 2019.
Komen