SEBUAH NGO Hindu hari ini menghantar memorandum kedua kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) kerana tiada tindakan mendakwa penceramah bebas Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu.
Diketuai Arun Dorasamy, pemimpin persatuan Hindu, Agamam Ani, kumpulan itu berkata kelompok minoriti di Malaysia tidak mendapat layanan baik dalam kes sebegitu dan mengecam tiadanya tindakan AGC mengenainya.
Mereka mahu tindakan diambil ke atas Zamri berkaitan ceramah di sebuah masjid di Kelantan pada Disember lalu, apabila beliau didakwa memperlekeh agama Hindu.
Arun mempersoalkan mengapa AGC teragak-agak mengambil tindakan ke atas Zamri walaupun ribuan laporan polis dibuat, malah polis juga mencadangkan penceramah itu didakwa.
Katanya, polis mencadangkan pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menganggu ketenteraman awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menghantar kandungan komunikasi menyinggung.
“Sudah 95 hari sejak polis menghantar kertas siasatan kepada AGC, mencadangkan dua pertuduhan ke atas Zamri tetapi masih tiada tindakan.
“Berapa lama lagi AGC mahu kami tunggu? Apa yang menyebabkan AGC daripada membuat keputusan untuk mendakwa atau tidak? Mereka ada semua bukti tetapi tiada keputusan. Keadilan tertangguh adalah penafian keadilan,” kata Arun kepada The Malaysian Insight.
Arun menambah yang AGC mempunyai tanggungjawab moral untuk menjelaskan mengapa pendakwaan masih tidak dibuat.
“Apa sahaja pendirian AGC, kami perlukan dalam dokumen bertulis. Berikan kami penjelasan mengapa lambat mendakwanya. Walaupun tiada pendakwaan, beritahu kami. Sekurang-kurangnya kami tahu pendirian AGC dalam isu ini,” katanya.
Arun turut mendakwa Zamri yang masih belum didakwa menyebabkan penceramah itu terus mengeluarkan video mencetuskan isu agama.
“Zamri tidak berdiam diri selepas apa yang dia buat pada Disember tahun lepas. Dia masih buat video yang mencetuskan isu agama. Sehingga sekarang pun saya masih kongsi videonya di Facebook saya.
“Sudah sampai masanya AG buat keputusan,” katanya.
Arun menyerahkan memorandum itu kepada Wasri Ahmad Sujani, pegawai perhubungan pelanggan AGC, dan berkata mereka mahukan maklum balas dalam tempoh tujuh hari. Wasri berkata beliau akan membawa isu itu untuk perhatian peguam negara.
Ditanya sebab isu itu masih tertangguh, Wasri berkata setakat ini tidak ada arahan rasmi daripada peguam negara.
Memo pertama kumpulan itu menggesa tindakan ke atas Zamri dibuat pada 5 Julai lalu. – 29 Ogos, 2019.
Komen