PUTRAJAYA perlu menjelaskan dasarnya dan lebih berusaha mendekati komuniti peniaga, kata presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).
Soh Thian Lai berkata sepatutnya tidak boleh ada perubahan dasar dan peraturan yang perlu dilaksanakan secara seragam di semua peringkat agensi kerajaan.
Taikun besi itu berkata kelulusan tertutup juga perlu dikurangkan bagi mengelak salah guna kuasa.
“Ada rundingan tetapi tidak mendalam. Ada perkara yang kerajaan perlu dengar (nasihat dan cadangan) sektor swasta dan berhubungan lebih kerap,” katanya merujuk kepada kekurangan perhubungan dalam aspek pelaksanaan dasar.
Menurut Soh, perkara itu nyata sekali berlaku dalam dasar pekerja asing yang sehingga sekarang masih tidak jelas.
Beliau turut memberi amaran sekiranya dasar ekonomi kerajaan tidak jelas, sukar untuk menarik pelaburan terus asing (FDI).
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Forum “Forge Business and Governemt Relations” di Putrajaya hari ini.
Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustian Cina Malaysia (ACCCIM) Lim Kuang Sia juga bersetuju dengan pandangan Soh, berkata industri kini mengalami banyak masalah tenaga kerja disebabkan dasar pekerja asing Putrajaya tidak jelas.
“Saya percaya semua industri akan setuju yang masalah utama dihadapi kita sekarang adalah kekurangan buruh.”
Katanya, walaupun tempahan meningkat, industri tidak dapat memenuhi permintaan disebabkan masalah itu.
“Kita ada peluang perniagaan tetapi tidak ada orang hendak buat.”
Dewan berpengaruh itu juga sudah menghantar kertas cadangan kepada kerajaan tetapi masih tidak mendapat maklum balas mengenainya.
Menurutnya, isu mendesak itu perlu ditangani kerajaan serta merta.
Selain itu, kewujudan “little Napolean” juga memberi kesan kepada pelaksanaan dasar, beliau turut mendesak supaya kerajaan melaksanakan dasar pelaburan yang tepat, membentuk persekitaran pelaburan yang kondusif serta menarik kolam bakat pekerja yang lebih besar bagi menangani masalah kekurangan tenaga buruh.
Manakal Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Tan Cheng Kiat pula berkata pelan peralihan kuasa pentadbiran juga mewujudkan banyak rasa tidak senang dan gelisah komuniti peniaga.
“Dengan rancangan peralihan kuasa yang tidak dijelaskan dan tempoh peralihan kepada perdana menteri menanti (tidak ditetapkan), wujud ketidaktentuan kerana pemimpin selalu mengubah dasar,” katanya.
Jelasnya, penting untuk komuniti peniaga untuk mengetahui secara jelas tentang dasar serta perancangan bagi membolehkan mereka merancang tindakan.
Pandangan mereka itu juga disokong oleh bekas menteri Mustapa Mohamed yang menjadi pemudah cara sesi itu, katanya, ekonomi perlu menjadi keutamaan pertama negara dan politik di tempat kedua, walaupun kedua-duanya saling berkait. – 29 Ogos, 2019.
Komen