MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu Najib Razak mengeluarkan cek pada 2013 menerusi orang tengah bagi membiayai dua syarikat untuk meraih sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).
Najib menggunakan orang tengah untuk mengelakkan spekulasi di media sosial, kata bekas setiausaha politik Najib ketika disoal balas pendakwa.
Wong Nai Chee memberitahu mahkamah, Najib memintanya mengeluarkan cek RM246,000 kepada ahli perniagaan Lim Soon Peng pada Ogos 2013 untuk diberi kepada dua syarikat berkenaan.
Wong yang menjadi setiausaha politik bekas perdana menteri itu dari 2011 hingga 2018, berkata Najib tidak mahu mengeluarkan cek terus kepada dua syarikat itu untuk mengelakkan timbul sebarang spekulasi.
“Kalau PM keluarkan cek peribadi, kami tidak mahu ia tersebar di Facebook. Lebih baik bayar melalui orang yang dipercayai. Kami percayakan Lim,” kata Wong.
Apabila Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram bertanya siapakah yang dimaksudkan dengan “kami”, saksi itu menjawab dirinya dan Najib.
Dua syarikat yang menerima pembayaran itu ialah Akademi Kewartawanan dan Informasi yang menerbitkan akhbar mingguan bahasa Cina, dan AD Network yang mentadbir laman Facebook Ah Jib Gor.
Pada sesi pemeriksaan balas hari ini, Wong berkata Lim tiada kaitan dengan kedua-dua syarikat terbabit tetapi mempunyai hubungan baik dengan pertubuhan di peringkat akar umbi.
“Lim ada direct contact dengan pertubuhan masyarakat China di peringkat akar umbi.
“Dia boleh sampaikan maklumat sampai ke rumah orang-orang tua, rumah kebajikan, tokong dan lain-lain,” katanya. – 29 Ogos, 2019.
Komen