Pelan alih kuasa PM jejas ekonomi, kata Tok Pa


Ragananthini Vethasalam

Mustapa Mohamed berkata pelan peralihan kuasa PM antara punca kelembapan ekonomi negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2019.

KETIDAKTENTUAN tentang pelan peralihan kuasa antara faktor menjejaskan ekonomi negara, kata bekas menteri Mustapa Mohamed.

Tambahnya, gabungan pelbagai faktor memberi kesan kepada ekonomi termasuklah pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Kalau awak letak semua perkara dalam gambaran lebih besar…semuanya gabungan perkara. Bukan satu isu sahaja,” kata ahli Parlimen Jeli itu yang keluar Umno dan masuk Bersatu.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas sebuah majlis di Kuala Lumpur hari ini selepas diminta mengulas kesan peralihan kuasa kepada ekonomi negara.

Mengikut konsensus pemimpin Pakatan Harapan, Anwar akan menjadi perdana menteri selepas Dr Mahathir berundur.

Bagaimanapun, tiada tempoh masa jelas ditetapkan walaupun ramai pemimpin PH mencanangkan ia akan berlaku selepas dua tahun mereka menakluk Putrajaya. Pada masa sama, wujud juga desakan pelbagai pihak supaya Dr Mahathir menghabiskan penggalnya mentadbir.

Negarawan itu juga menimbulkan kekeliruan apabila berkata beliau mahu terus mentadbir sehinggalah semua masalah dibuat Barisan Nasional sebelum ini diselesaikan.

Anwar pula terus menegaskan yang beliau percaya Dr Mahathir akan menyerahkan kuasa kepadanya.

Sementara itu, Mustapa yang juga pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet Parlimen berkata, jawatankuasa sudah mengadakan beberapa mesyuarat dan memberikan cadangan kepada menteri kewangan untuk Belanjawan 2020 semalam.

Menurutnya, isu kos sara hidup perlu menjadi keutamaan belanjawan negara tahun depan.

“(Pengenalan) Cukai baharu adalah hak kerajaan tetapi kami tak banyak cadangan tentang cukai,” katanya.

Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk tidak memperkenalkan cukai baharu pada belanjawan akan datang.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kemungkinan besar tidak ada cukai baharu akan diperkenalkan pada Belanjawan 2020.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus perlahan walaupun berkembang pada kadar 4.5% tahun ini berbanding 4.7% pada 2018 disebabkan permintaan domestik.

Manakala, pasaran Bursa Malaysia pula turun naik disebabkan kesan perang perdagangan China dan AS.

Penganalisis meramalkan pertumbuhan ekonomi terus perlahan dan Belanjawan 2020 dilihat banyak pihak akan meluaskan usaha untuk merancakkan perbelanjaan pengguna.

Belanjawan 2020 dijangka dibentangkan pada 11 Oktober depan. – 29 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen