Ketua Pemuda Warisan direman 5 hari


Jason Santos

Ketua Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar (berbaju jingga) semasa dibawa ke mahkamah Kota Kinabalu hari ini. Beliau direman selama lima hari. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2017.

KETUA Pemuda Warisan, Azis Jamman direman selama lima hari, berakhir pada 14 Oktober.

Ketua Pemuda Umno Tawau, Ariffin Kassim, 44, dan Ketua Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar 43, juga direman selama lima hari.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus meluluskan reman hari ini.

Azis diwakili oleh sekumpulan peguam yang diketuai Darrel Leiking, Martin Tommy Cedric, Norazmi Alimat dan Loretto Padua Jr.

Ariffin diwakili oleh Hamid Ismail manakala Jamawi diwakili peguam Arthur Borine, Shahlan Jufri dan Mohd Azhier Farhan.

Ketiga-tiga ahli politik itu ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan kira-kira RM1.5 bilion dana persekutuan untuk pembangunan luar bandar Sabah dalam tempoh enam tahun sejak 2009 hingga 2015.

Pegawai pendakwa SPRM adalah Fazli Basirudin.

Semasa proses permohonan, SPRM meminta reman tujuh hari tetapi Cindy hanya bersetuju memberi suruhanjaya itu lima hari.

Sementara itu, tempoh reman naib presiden Warisan Peter Anthony dilanjutkan tiga hari. 

Peguamnya, Martin Tommy Duasim berkata, tempoh reman itu dipendekkan berikutan keadaan kesihatan anak guamnya. 

“Pegawai pendakwaan SPRM pada awalnya memohon tujuh hari reman, namun kami bangkitkan keadaan kesihatan Anthony dan majistret bersetuju untuk melanjutkan tiga hari.”

Manakala tempoh reman ahli perniagaan berusia 54 tahun yang ditahan bersama Anthony dilanjutkan empat hari. – 10 Oktober, 2017.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen