KEMENTERIAN Kewangan telah meluluskan bayaran kepada pengusaha bas sekolah bagi anak-anak Orang Asli di Cameron Highlands dan pembayaran akan dilakukan secepat mungkin, kata Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Ia susulan laporan The Malaysian Insight hari ini bahawa beberapa pengusaha bas di Cameron Highlands sudah pun berhenti menghantar anak Orang Asli ke sekolah minggu ini, dan lebih ramai lagi akan mengambil tindakan sama.
Menurut Ahli Parlimen Cameron HighlandsRamli, yang juga wakil rakyat pertama daripada keturunan Orang Asli Semai di negara ini, pengendali bas mengadu kepadanya bahawa Jakoa tidak membayar mereka sejak Mac.
Pengarah Jakoa Prof Dr Juli Edo ketika dihubungi petang tadi berkata jabatan itu komited untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh Ramli.
“Jakoa telah mengangkat permohonan pembayaran perkhidmatan bagi bulan April, Mei dan Jun 2019 kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan dan kelulusan.
“Jakoa mempunyai peruntukan mencukupi bagi tujuan pembayaran tersebut dan memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan selaras dengan peraturan semasa sebelum pembayaran dapat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – 28 Ogos, 2019.
Komen