Pendakwaan sukar buktikan wujud pakatan sulit, kata Shafee 


Bede Hong Timothy Achariam

Peguam bela Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah berpegang kepada anak guamnya percaya beliau menerima derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2019.

PEGUAM bela Najib Razak hari ini menolak dakwaan pihak pendakwa bahawa ia akan buktikan bekas perdana menteri itu dan ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho berpakat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk kepentingan diri.

Muhammad Shafee Abdullah berkata, ia bukan mudah untuk dibuktikan kerana Low masih bebas.

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga sukar untuk mengaitkan kes SRC International dengan perbicaraan 1MDB yang bermula hari ini.

“Saya mahu mereka buktikan Najib berpakat dengan Jho Low di semua peringkat dalam 1MDB. Sebagaimana yang kamu lihat, dalam kes SRC International pun, terdapat kesukaran untuk mengaitkan kedua-dua mereka,” kata Shafee kepada pemberita di luar mahkamah hari ini.

Hari pertama perbicaraan 1MDB bermula hari ini dengan Ketua Pendakwa Raya Gopal Sri Ram membaca penyataan pembukaan kes yang mendakwa Najib dan Jho Low berpakat untuk kepentingan peribadi.

“Matlamat ulung tertuduh (Najib) adalah untuk mendapatkan habuan kepada dirinya. Dia berjaya mencapai matlamat itu. Sebuah pelan terancang penuh teliti dilaksanakan,” kata Sri Ram di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah di ruang mahkamah yang dipenuhi hadirin.

Sri Ram juga memberitahu mahkamah, dalam pelan rancangan penuh teliti itu adalah seorang individu dikenali sebagai Low Taek Jho, atau Jho Low, menambah yang Low terlibat dalam 1MDB dan Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu, tetapi kini jadi orang buruan.

Shafee bagaimanapun memberitahu pemberita, beliau meragui pihak pendakwaan mampu membuktikan penegasannya kerana Low masih bebas.

“Siapa yang kamu akan panggil untuk menyatakan terdapat pakatan sulit?” soalnya.

Beliau berkata, pihak yang perlu dipersalahkan adalah Jho Low itu sendiri, kerana ahli perniagaan berasal dari Pulau Pinang itu mengelirukan semua pihak.

“Dia kelirukan bank, 1MDB malah TIA juga.

“Untuk menyatakan anak guam saya ‘alter ego’. Saya mahu mereka buktikannya,” tambahnya.

Shafee juga berkata sukar untuk pihak pendakwaan meletakkan Najib dalam pertuduhan pengubahan wang haram kerana anak guamnya sentiasa mengatakan wang berkenaan adalah sumbangan dari keluarga diraja Arab Saudi.

“Kami sentiasa katakan anak guam saya secara jujur menerima wang daripada raja Arab Saudi. Wang itu dimasukkan ke akaunnya. Itu pembelaan kami, kerena beliau bertemu raja Arab Saudi dan terdapat perjanjian AS$1 bilion (RM4.21 bilion),” katanya.

“Wang itu masuk ke akaunnya dan ia adalah keyakinannya bahawa wang yang dibelanjakan adalah wang sumbangan.”

Beliau turut mempersoalkan bagaimana pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa dokumen yang mendakwa dana itu adalah derma dipalsukan, dan Najib tahu mengenai pemalsuan itu.

“Beliau (Najib) sentiasa percaya bahawa ia adalah sumbangan. Jadi sama ada dokumen diubah atau tidak, kamu perlu membuktikannya. Dan walaupun kamu membuktikannya. Kamu perlu buktikan bahawa Najib tahu bahawa ia diubah. Saya tidak peduli jika Jho Low tahu. Adakah saya tahu?”

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, berdepan 25 pertuduhan, iaitu empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan diri berjumlah RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan hari pertama 1MDB didengar di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah dengan empat saksi mengambil tempat. – 28 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen