15 kesalahan perunding punca tanah runtuh di Tanjung Bungah, kata siasatan


Zaim Ibrahim

Tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada Oktober 2017 membunuh 11 buruh binaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2019.

TANAH runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang membunuh 11 buruh binaan pada Oktober 2017 berlaku antaranya kerana 15 kesalahan syarikat perunding kejuruteraan yang cuai dan gagal memberi nasihat yang betul kepada projek, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Perunding syarikat KAA Sdn Bhd, Khoo Koon Tai, yang bertanggungjawab untuk menasihati aspek kejuruteraan awam dan struktur, juga cuai tidak memantau perkembangan projek secara langsung, kata Chow.

Chow, yang mengumumkan laporan Suruhanjaya Siasatan Negeri hari ini, berkata Khoo didapati tidak hadir ke tapak pembinaan sebaliknya memantau perkembangan projek hanya melalui telefon.

“Perunding KAA Ir Khoo Koon Tai individu bertanggungjawab yang menyebabkan perkara ini berlaku.

“Beliau didapati melakukan 15 kesalahan antaranya tidak melakukan pengiraan kejuruteraan yang tepat, kurang memeriksa kawasan binaan dan membiarkan pekerja bekerja di kawasan cerun, yang tanpa sedar adalah berbahaya,” kata Chow dalam satu sidang media di pejabatnya di George Town, hari ini.

Selepas kejadian runtuh ini, beberapa siri runtuhan di Tanjung Bungah berlaku termasuklah pada Jun lalu, empat buruh warga Myanmar maut tertimbus dalam tanah runtuh di tapak pembinaan Jalan Tanjung Batu Feringghi, Tanjung Bungah.

Tambah Chow, cerun itu dibina tanpa proses pengiraan, rekaan yang betul dan pengawasan. 

Koon Tai juga hanya bergantung kepada “pihak kedua” untuk memberi perkembangan tentang projek 50 buah apartmen mampu milik.

“Beliau bergantung kepada maklumat pihak kedua sama ada seorang kerani yang bekerja mengikut jam (atau pihak lain), dan mereka akan memberi gambar melalui WhatsApp untuk memberikan arahan atau melaporkan perkembangan terbaru.

“Tanpa jurutera di tapak binaan dan seorang pegawai untuk menjaga projek, adalah salah kerana tidak mengikut prosedur sebagai seorang perunding jurutera,” tambahnya.

Dalam sidang media itu, suruhanjaya menyarakan agar tindakan tegas dikenakan terhadap Khoo.

“Kita akan hantar maklumat siasatan kepada polis melalui Jabatan Peguam Negara. Kami menggesa Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) mengambil tindakan disiplin terhadap beliau,” jelas Chow.

Pada Oktober 2018, kontraktor utama projek itu, Choongcons (Penang) Sdn Bhd, didenda RM35,000 selepas mengaku gagal memastikan tapak itu bebas daripada risiko.

Oktober tahun lalu, cerun bukit setinggi 10 meter runtuh di sebelah tapak pembinaan projek itu yang mengorbankan seorang rakyat Malaysia, 4 warga Bangladesh, 3 warga Myanmar, 2 warga Indonesia dan seorang warga Pakistan. – 28 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen